
Wilayah Malaysia
Tiga kampung Indonesia kini dalam wilayah Malaysia susulan pelarasan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang dimuktamadkan melalui rundingan rasmi kedua-dua negara.
Perkembangan ini melibatkan kawasan sempadan di Pulau Sebatik dan Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, hasil penyelesaian isu sempadan yang telah lama dibincangkan oleh kedua-dua pihak.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, ketika mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan.
Menurut laporan media Indonesia, Kompas, pelarasan sempadan ini berkait rapat dengan penyelesaian beberapa Outstanding Boundary Problem (OBP) yang sebelum ini belum dimuktamadkan, khususnya di kawasan Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua pentadbiran negara.
Makhruzi menjelaskan bahawa tiga OBP telah dipersetujui secara rasmi melalui pemeteraian memorandum persefahaman sempena Mesyuarat Bersama Indonesia–Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025.
“Tiga OBP itu melibatkan titik sempadan B-2700, B-3000 serta kawasan Simantipal,” katanya.
Hasil persetujuan tersebut, kira-kira 127 hektar kawasan di Pulau Sebatik disahkan kekal berada dalam wilayah Indonesia, sekali gus menamatkan kekeliruan pentadbiran yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Dalam perkembangan berkaitan, Makhruzi turut mengesahkan bahawa tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, sebahagian wilayahnya kini berada di bawah pentadbiran Malaysia.
Tiga kampung berkenaan ialah Kabungalor, Lepaga dan Tetagas, yang terletak di kawasan bekas OBP Sinapat serta Kecamatan Lumbis Hulu.
Walaupun isu ini mencetuskan perhatian ramai, beliau menegaskan bahawa perubahan tersebut adalah hasil rundingan dan persetujuan bersama tanpa melibatkan sebarang tindakan pencerobohan atau konflik antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, Makhruzi memaklumkan masih terdapat empat segmen OBP di sektor barat Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Kawasan tersebut melibatkan D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum.
Menurutnya, kawasan berkenaan kini berada pada peringkat tinjauan lapangan unilateral oleh pasukan teknikal Indonesia, selain proses pertukaran maklumat bagi membincangkan terma rujukan (TOR) serta prosedur operasi standard (SOP) antara kedua-dua negara.
Pelarasan sempadan ini bukan sahaja melibatkan perubahan pentadbiran wilayah, malah turut memberikan manfaat kepada Indonesia.
Menurut Makhruzi, secara keseluruhan Indonesia menerima tambahan kira-kira 5,207 hektar kawasan yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia.
Kawasan tersebut dicadangkan bagi menyokong pembangunan kawasan sempadan, termasuk sebagai kawasan gantian hutan untuk pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta pembangunan Zon Perdagangan Bebas.
Isu perubahan sempadan ini dijangka terus menjadi perhatian kerana melibatkan kedaulatan negara, pentadbiran tempatan serta kehidupan masyarakat di kawasan sempadan.
Bagi golongan remaja dan masyarakat umum, isu ini menjadi peringatan bahawa sempadan negara bukan sekadar garisan di peta.
Ia merupakan hasil rundingan diplomatik, perjanjian antarabangsa dan pertimbangan jangka panjang demi kestabilan serta keharmonian serantau.
Sumber: Detik.com