Berita

“Tiada Siapa Boleh Sentuh UiTM!” – Tegas Tengku Permaisuri Selangor

Share

“Tiada siapa boleh sentuh UiTM!” – itulah titah tegas Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang sekali gus membangkitkan rasa bangga warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam.

Menurut laporan Sinar Harian, Baginda menegaskan bahawa kedudukan dan peranan asal UiTM tidak boleh diganggu-gugat kerana ia selari dengan Akta 173 (1A) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memelihara hak orang Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan bertitah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Rabu.

UiTM Benteng Ilmu & Simbol Perjuangan

“UiTM terbukti mempunyai sejarah istimewa dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta Bumiputera melalui pendidikan tinggi. Justeru, saya berharap tiada pihak cuba mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini,” titah baginda.

UiTM yang bermula sebagai Dewan Latihan RIDA kini berkembang menjadi universiti gergasi dengan kampus di seluruh negara. Ia bukan sekadar institusi akademik, tetapi medan perjuangan anak bangsa menimba ilmu dan membina masa depan.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 24,643 graduan diraikan, termasuk 237 graduan pascasiswazah pada sidang pertama.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Rabu.

Pesanan Bermakna Untuk Graduan Muda

Dalam titahnya, Tengku Permaisuri Selangor turut mengingatkan graduan agar tidak berhenti menuntut ilmu walaupun selepas tamat pengajian. “Ilmu adalah cahaya dan kunci maruah diri. Pendidikan harus terus menjadi agenda utama negara, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja, tetapi membina insan berakhlak dan berjiwa merdeka,” pesan baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Ahmad Sazali Hamzah yang dianugerahkan Profesor Emeritus atas jasa besar beliau dalam memperkasa pendidikan dan penyelidikan di UiTM.

Inspirasi Buat Generasi Remaja

Buat remaja dan anak muda, titah ini jadi peringatan penting – UiTM bukan sekadar universiti, tapi simbol perjuangan bangsa melalui ilmu. Ia membuktikan bahawa pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk membina maruah diri, keluarga dan negara.

BACA LAGI : Kes Buli Zara Qairina: 5 Remaja Perempuan Tetap Akan Didakwa Esok

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana