Berita

Tiada Lagi Ujian Diagnostik Untuk Kemasukan Darjah Satu, Kerajaan Utamakan Kesejahteraan Kanak-Kanak

Share

Kerajaan memutuskan kemasukan murid Darjah Satu tidak lagi memerlukan ujian diagnostik, bagi memastikan kanak-kanak berusia enam tahun tidak terbeban dengan tekanan akademik terlalu awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan ini dibuat selepas mendengar pandangan daripada pendidik, pakar pendidikan awal kanak-kanak, serta kebimbangan ibu bapa. Beliau menekankan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada pemantauan perkembangan murid secara berterusan, bukannya ujian formal ketika usia masih terlalu muda.

Dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat, Anwar menjelaskan langkah ini bertujuan memudahkan proses kemasukan murid ke sekolah rendah, selain mengelakkan mereka daripada mengalami tekanan akademik seawal usia.

“Oleh itu, ia ditiadakan supaya dipermudahkan. Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab guru-guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan dan perkembangan anak-anak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri dari segi emosi, sosial, dan persekitaran pembelajaran, tanpa rasa takut atau tertekan akibat ujian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pernah mencadangkan pelaksanaan ujian saringan diagnostik khas untuk menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Darjah Satu bermula sesi 2027. Cadangan itu menimbulkan reaksi, terutamanya daripada ibu bapa yang bimbang tekanan akademik awal boleh menjejaskan minat belajar dan kesejahteraan emosi anak-anak.

Susulan maklum balas tersebut, kerajaan akhirnya memilih pendekatan kemasukan Darjah Satu tanpa ujian diagnostik yang lebih fleksibel dan mesra perkembangan kanak-kanak.


Walaupun ujian diagnostik ditiadakan, Anwar menegaskan bahawa
sistem pendidikan tetap menitikberatkan penilaian murid, tetapi ia dilakukan secara berperingkat dan sesuai dengan tahap umur serta perkembangan kanak-kanak.

Beliau menambah, penilaian di peringkat Darjah Empat memberikan sekurang-kurangnya dua tahun untuk mengenal pasti kelemahan murid dan melakukan penambahbaikan sebelum mereka melangkah ke pendidikan menengah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath