Inpirasi

“Saya Benar-Benar Rasa Dihargai” Nama Saintis UMT Diabadikan Dalam Taksonomi Antarabangsa, Spesies Baru Parasit Ikan Ditemui

Share

Dalam dunia sains, bukan semua penyelidik berpeluang melihat nama mereka terpahat kekal dalam rekod taksonomi antarabangsa. Namun itulah detik bermakna yang diraih seorang saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) apabila namanya diabadikan sebagai spesies baharu parasit ikan iaitu ‘Thelohanellus Borkhanuddini’.

Menurut kenyataan rasmi UMT, penghormatan tersebut diberikan kepada bekas Ketua Program Biologi Marin UMT, Profesor Madya Dr Hafiz Borkhanuddin atas dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang parasitologi ikan serta ekologi invertebrata. Ia juga menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha konsisten beliau dalam penyelidikan sains marin.

Memetik laporan Bernama, spesies baharu dalam genus Thelohanellus itu ditemukan oleh sekumpulan penyelidik dari Hungary dan hasil kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports. Penemuan tersebut turut mendapat liputan media sains terkemuka, National Geographic sekaligus menarik perhatian komuniti penyelidik global.

“Penemuan itu bukan sekadar pencapaian taksonomi, sebaliknya memberi implikasi langsung terhadap kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur dan kelestarian sumber protein akuatik dunia, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan global,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, penamaan spesies baharu dalam taksonomi saintifik dianggap sebagai penghormatan akademik yang tinggi dan berkekalan. Nama diberikan turut akan terus direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies tersebut diiktiraf oleh komuniti penyelidik antarabangsa.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Dr Hafiz yang kini menyandang jawatan Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, menyifatkannya ini sebagai pencapaian tertinggi sepanjang kerjayanya. Beliau mengakui tidak pernah menyangka namanya akan menjadi sebahagian daripada rekod taksonomi dunia.

 

View on Threads

 

Menerusi perkongsian di Threads, beliau mendedahkan bahawa dirinya pada awalnya hanya menerima pautan artikel daripada bekas penyelia PhD sebelum menyedari namanya telah diabadikan dan menyifatkan momen tersebut sebagai satu pencapaian sekali seumur hidup buat seorang ahli akademik.

“Dua hari lalu saya menerima pautan NatGeo daripada bekas penyelia PhD saya. Saya benar-benar tidak tahu bahawa pasukan penyelidik dari Hungary telah menamakan spesies parasit yang baharu ditemui itu sempena nama akademik saya. Ia benar-benar mengejutkan dan membuatkan saya rasa terharu secara positif,” ujarnya.

“Ini mungkin satu pencapaian sekali seumur hidup bagi seorang ahli akademik dan saya benar-benar berasa dihargai. Terima kasih sekali lagi kepada pasukan penyelidik Hungary,” jelasnya sambil menambah kejayaan itu turut membuktikan bahawa penyelidikan asas yang dilakukan secara tekun mampu memberi impak besar di peringkat antarabangsa.

Sumber artikel & foto: Bernama & Threads Profesor Madya Dr Hafiz Borkhanuddin

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE