
Baru-baru ini, KDPB Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDPB Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dikurniakan cucunda apabila YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri selamat melahirkan seorang puteri pada Khamis, semalam.
Menerusi sebuah perkongsian dari media sosial rasmi Kesultanan Pahang, seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang menzahirkan ucapan tahniah dan merafak sembah kepada Sultan Pahang serta Tengku Ampuan Pahang atas keputeraan cucunda perempuan puteri yang dilahirkan.

View this post on Instagram
Difahamkan, cucunda perempuan baginda dilahirkan pada jam 3.35 petang di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan selamat diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra. Beliau merupakan puteri kepada YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YHM Tengku Puan Bendahara.
Dalam hantaran sama, Majlis Kesultanan Pahang turut berkongsi kegembiraan seluruh warga istana yang menyambut khabar istimewa itu dengan penuh rasa syukur, selain mendoakan agar keluarga diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
BACA: Sultan Pahang Nasihat Wanita Teliti Pasangan Warga Asing Sebelum Berkahwin
“Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa syukur atas khabar gembira ini serta bersama-sama menadah tangan memohon ke hadrat Allah SWT agar mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan kepada bayi yang baharu diputerakan, serta dipermudahkan segala urusan YAM Tengku Arif Bendahara dan YHM Tengku Puan Bendahara,” tulisnya.

Sementara itu, perkongsian berkenaan menerima pelbagai ucapan tahniah daripada pengguna di media sosial yang turut sama berkongsi kegembiraan atas kelahiran cucunda baharu Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, selain mendoakan agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar dengan sihat, sejahtera serta menjadi insan yang berbakti kepada keluarga dan negeri.
Untuk rekod, YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri mendirikan rumah tangga bersama YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah pada 24 Oktober 2024 dalam sebuah istiadat penuh adat yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan. Kelahiran Tengku Nadine Amina Zahra kini melengkapkan kebahagiaan pasangan diraja itu apabila mereka menimang cahaya mata sulung.
Sumber: Instagram Kesultanan Pahang
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











