
Baru-baru ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkongsi khabar gembira selepas dikurniakan cahaya mata pertama mereka yang merupakan seorang puteri.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial milik baginda, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kelahiran puteri sulung hasil perkahwinan bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Beta mengumumkan kelahiran puteri kami.”
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga,” titah baginda.
Dalam hantaran sama, baginda turut memperkenalkan nama puteri sulung mereka iaitu Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah, sebuah nama yang dipilih dengan penuh makna dan melambangkan keindahan warisan Melayu.
Susulan itu, nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah kemudiannya menjadi perhatian ramai apabila warga internet memuji pemilihan nama tersebut yang disifatkan mempunyai elemen Melayu klasik, lembut serta penuh kesopanan.
Sementara itu, di ruangan komen media sosial rasmi Raja Muda Selangor turut dipenuhi ucapan tahniah dan doa daripada rakyat serta kenalan yang mendoakan agar puteri sulung baginda membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah serta sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.
Untuk rekod, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober 2025. Pasangan diraja tersebut dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Kelahiran Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah bukan sahaja membawa kegembiraan kepada keluarga diraja Selangor, malah turut diraikan rakyat yang mengikuti perkembangan institusi kesultanan negeri itu. Ramai berharap agar puteri sulung pasangan diraja berkenaan membesar sebagai insan berakhlak mulia, berilmu serta menjadi kebanggaan keluarga diraja dan rakyat Selangor.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.