Tenang Di Bawah Tekanan, Penunggang Muda Negara Ini Ukir Sejarah Emas Sukan SEA

Share

Usia 17 tahun bukan penghalang untuk mencipta sejarah di pentas antarabangsa. Itulah yang dibuktikan oleh penunggang muda negara, Megan Min Ern Ding, apabila tampil penuh ketenangan untuk menghadiahkan pingat emas acara dressage gaya bebas individu di Sukan SEA Thailand 2025.

Lebih mengagumkan, kejayaan tersebut hadir selepas Megan hampir terlepas saingan akibat isu logistik melibatkan kudanya, Gaudi Vita. Namun, berbekalkan fokus dan persiapan rapi, Megan berjaya mengatasi segala rintangan demi melakar detik manis buat negara.

Beraksi di Arena Grimm Grand Prix, Chonburi, Megan mencatat 76.252 mata, sekali gus muncul juara daripada lapan peserta yang bertanding. Lebih istimewa, catatan itu turut memecahkan rekod Sukan SEA, menjadikan kemenangan ini satu pencapaian luar biasa buat atlet muda tersebut.

Pengurus pasukan ekuestrian negara, Datuk Yap Mou Soon, menyifatkan ketenangan Megan sebagai kunci utama kejayaannya, terutamanya apabila beraksi di gelanggang lawan.

“Dia membuat persiapan rapi dan walaupun berada di bawah tekanan tinggi, dikelilingi pesaing tuan rumah, dia kekal tenang dan menunggang dengan sangat baik.

“Sejak semalam dia sudah mendahului saingan dengan sekitar 72 mata dan hari ini meningkat kepada 76 mata untuk menjuarai pertandingan,” katanya.

Menurut Yap, kutipan mata yang diraih Megan turut memadam rekod lama Sukan SEA yang sebelum ini dipegang oleh Qabil Ambak.

“Rekod Sukan SEA sebelum ini ialah 72 mata milik Qabil Ambak. Megan mencatat 76 mata, jadi ia rekod baharu,” katanya.

Namun, di sebalik kejayaan gemilang itu, perjalanan Megan dan pasukan sebenarnya dipenuhi detik mencemaskan. Gaudi Vita hampir tidak dapat dihantar ke Thailand susulan masalah penerbangan berpunca daripada faktor suhu.

“Kami berdepan banyak cabaran. Kuda hampir tidak dapat dihantar dan Megan hampir terlepas pertandingan kerana penerbangan kuda,” katanya.

Situasi tersebut memaksa keluarga Megan bertindak pantas demi memastikan kuda berkenaan tiba tepat pada waktunya.

“Kami hampir berputus asa, tetapi ibu bapanya bekerja keras menguruskan penerbangan dan akhirnya kuda tiba sehari kemudian. Mujur semuanya sempat,” katanya.

Kebimbangan tidak berakhir di situ apabila Gaudi Vita ditahan sementara sebaik tiba di Thailand untuk menjalani pemeriksaan veterinar.

“Kuda diletakkan dalam status tahanan ketika pemeriksaan dan kami bimbang jika tidak dibenarkan bertanding. Mujur semuanya berjalan lancar,” katanya.

Selepas mendapat kelulusan, Megan akhirnya turun ke arena dan mempamerkan tunggangan penuh berwibawa, meninggalkan jurang mata yang besar ke atas pesaing lain dan ia satu pencapaian yang jarang berlaku di pentas Sukan SEA.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: BH Online

Published by
Fath