
Detik menyayat hati dilalui seorang bapa apabila tanpa disedari, dia melihat sendiri jasad anak perempuannya yang maut dalam satu kemalangan jalan raya.
Menerusi laporan media tempatan, Mazli Yusoh, 51, melalui pengalaman paling perit dalam hidupnya apabila ternampak satu jasad yang dipayungi di atas jalan raya, tanpa mengetahui bahawa mangsa itu adalah anak kandungnya sendiri.
Anak perempuannya, Syakirah Hanan, 25, disahkan maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam.
Menurut Mazli, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan ke Kuala Berang bagi menyelesaikan urusan peribadi dan kebetulan melalui lokasi kemalangan berkenaan. Ketika itu, dia melihat satu jasad di atas jalan raya, namun langsung tidak terlintas di fikirannya bahawa mangsa adalah anaknya sendiri.
Ketika panggilan diterima, Mazli berkata dia sudah berada di Kampung Tapu, Kuala Berang sebelum berpatah balik dengan segera ke lokasi kejadian.
Berkongsi lanjut ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut itu memaklumkan arwah merupakan anak kedua daripada tujuh beradik.
Pada pagi kejadian, Mazli berkata dia kebetulan mempunyai urusan di Kuala Terengganu dan sempat singgah di rumah di Kampung Kuala Bekah, tempat arwah menetap ketika ini, sekali gus menjadi pertemuan terakhir mereka.
Mazli yang menetap di Jertih, Besut mengakui meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, kehilangan anak yang sangat rapat dengannya itu amat sukar diterima. Menurutnya, arwah sering berkongsi segala urusan berkaitan pengajian dan kehidupan seharian serta dikenali sebagai seorang yang manja dan mudah meluahkan perasaan kepada bapanya.
Walaupun berdepan kesedihan yang mendalam, Mazli berkata dia reda menerima takdir yang telah ditetapkan dan percaya pemergian anaknya dalam kemalangan tersebut tergolong sebagai mati syahid.
Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa terkilan apabila cita-cita arwah untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai seorang pendidik tidak kesampaian.
Untuk rekod, arwah sebelum ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir pada tahun lalu sebelum menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada April lepas, selain menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pendidikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online