Tak Tiru Neelofa, Hero Remaja 2020 Kenalkan Produk Minuman Buah

Share

 

Tidak sampai dua bulan setelah dinobatkan juara Hero Remaja 2020, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 24 ataupun Nadhir Nasar

telah memperkenalkan satu produk minuman di pasaran.

Dikenali dengan nama Lucky Dew Milk, ini adalah produk dalam kategori F&B pertama yang diperkenalkan model, pelakon dan pengarah muda ini.

Sebelum ini, dia pernah muncul dengan beberapa produk seperti baju hoodie.

Menurut Nadhir ketika dihubungi REMAJA, projek minuman Lucky Dew Milk ini telah lama difikirkan olehnya dan pasukan di belakang pembikinan. Pemilihan minuman sebagai produk pula datang daripada minatnya sendiri terhadap minuman tembikai susu dengan rasa kepingan puding di dalamnya.

“Minuman Lucky Dew Milk memang saya sasarkan kepada remaja dan belia berusia 15 hingga 30 tahun. Ini kerana ia mengandungi nutrien dan kadar gula yang diperlukan oleh mereka bagi memberi tenaga untuk rutin sepanjang hari.

“Buat masa ini, saya hanya akan memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan dahulu, iaitu menerusi platform atas talian (online).

“Mereka yang berminat boleh menghantarkan mesej ke akaun Instagram Lucky Dew Milk dan dari situ, kita boleh berhubung untuk sebarang pembelian,” katanya yang turut menantikan peluang untuk terlibat dalam sebarang festival makanan pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tonton Video Muzik Arahan Sulung Nadhir Nasar

Umum mengetahui, apabila bercakap mengenai produk minuman buah saja, kita akan pantas mengaitkan kepada produk minuman susu pisang, Nilofa oleh selebriti, Noor Neelofa. Lantas, tidakkah Nadhir gusar sekiranya ada pihak yang membandingkan Lucky Dew Milk dengan minuman susu pisang itu, mahupun beranggapan dia ‘meniru’?

“Bagi saya, perbandingan itu terpulang kepada individu. Apa yang boleh saya katakan, rasa kedua-dua minuman ini berbeza dan ia juga datang dalam pakej masing-masing. Saya usahakan Lucky Dew Milk untuk berkongsi perisa kegemaran saya dengan peminat dan pembeli di luar sana.

Nadhir pernah muncul dengan produk berupa baju hoodie, sebelum ini

“Lagipun, saya sememangnya mengagumi dan menghormati Neelofa selaku selebriti serta ahli perniagaan. Jadi tidak timbul isu saya ingin ‘meniru’ produk yang dikeluarkan oleh beliau,” kata Nadhir yang bakal sibuk dengan beberapa projek lakonan bermula pertengahan September ini.

Selain menjadi pengacara bagi program berepisod di YouTube berjudul Lensa bersama Finas Malaysia, Nadhir akan memasuki set penggambaran sebuah drama berjudul Tercipta Satu Ikatan bersama Aeril Zafril dan Hannah Delisha.

Selain itu, dia juga sempat memberikan bayangan bakal tampil dalam sebuah telemovie berjudul ‘Abah’ bersama pelakon kegemarannya, Beto Kusyairi, Jalil Hamid, Fatimah Abu Bakar dan Nadia Aqilah.

IKLAN