Berita

Tak Sanggup Lihat Isteri Bergantung Pada Mesin, Suami Pilih Derma Buah Pinggang

Share

Satu perkongsian menyentuh hati di Threads oleh seorang individu dikenali sebagai myozstories atau nama sebenar Mohd Nadzim mencuri perhatian apabila beliau berkongsi kisah pengorbanan luar biasa apabila sanggup melakukan derma buah pinggang demi isterinya yang menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Segalanya bermula pada Januari 2021 apabila isterinya menjalani pemeriksaan kesihatan penuh termasuk ujian darah serta penanda kanser.

Pada ketika itu, doktor mengesahkan isterinya menghidap Chronic Kidney Disease (CKD) tahap 3.

Walaupun diagnosis tersebut mengejutkan, pasangan ini masih mampu mengawal keadaan melalui pemakanan ketat, pengambilan ubat yang konsisten serta pemantauan rapi daripada pihak hospital.

Kehidupan diteruskan seperti biasa, meskipun dengan penuh berjaga-jaga.

Keadaan Merosot Ke Tahap Paling Kritikal

Namun, ujian sebenar datang pada Julai 2025 apabila doktor memaklumkan keadaan buah pinggang isterinya semakin merosot ke CKD tahap 5, iaitu tahap paling kritikal yang memerlukan rawatan dialisis segera.

Sejak itu, isterinya terpaksa menjalani dialisis dua kali seminggu. Pergerakan harian menjadi sangat terbatas.

Untuk keluar jauh apatah lagi memandu sendiri menjadi sesuatu yang mustahil kerana sedikit perjalanan sahaja sudah membuatkan tubuhnya keletihan.

Kebimbangan Seorang Suami Yang Bekerja Offshore

Dalam keadaan itu, si suami yang bekerja offshore mula dihimpit kebimbangan yang mendalam. Jarak dan masa kerja yang panjang membuatkan dia berdepan dilema besar sebagai ketua keluarga.

“Satu benda je aku fikir masa tu, aku selalu kerja offshore, aku selalu tinggalkan keluarga. Macam mana aku nak tinggalkan keluarga dalam keadaan macam ni?” luahnya jujur.

Ketika itulah mereka mula mempertimbangkan pilihan terakhir iaitu pemindahan buah pinggang.

Proses saringan dilakukan melibatkan ibu serta adik-beradik, namun malangnya tiada seorang pun yang sesuai sebagai penderma.

Tanpa ragu dan tanpa berfikir panjang, si suami menawarkan dirinya sendiri untuk melakukan derma buah pinggang.

“Biarlah aku. Lagipun darah aku O. Mungkin sesuai,” katanya dengan penuh tekad.

Perjuangan Menurunkan Berat Demi Pembedahan

Namun, hasrat murni itu datang dengan syarat. Berat badannya perlu diturunkan terlebih dahulu bagi memenuhi kriteria pembedahan. Demi isterinya, beliau mula berlari, mengawal pemakanan dan mengubah gaya hidup sepenuhnya.

Setiap kali keletihan dan hampir berputus asa, hanya satu perkara bermain di fikirannya.

“I’m doing this for my wife. Aku nak tengok dia happy, boleh berjalan, dan yang paling penting, tak perlu hidup bergantung kepada mesin.”

Pada 24 Januari 2025, beliau melangkah masuk ke bilik pembedahan bukan sebagai seorang wira, tetapi sebagai seorang suami yang melakukan apa yang dirasakannya sebagai tanggungjawab.

“Bukan sebab nak jadi hero. Aku buat sebab aku suami dia,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.

Lebih menyentuh perasaan, prosedur derma buah pinggang itu dilakukan sehari selepas pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 mereka.

Tiga hari lalu, beliau berkongsi perkembangan terkini bahawa semuanya berjalan dengan lancar. Nadzim kini sedang melalui fasa pemulihan dan menunjukkan tanda-tanda positif.

“As still recovering, some footage that I can pull off together with help of friends and family,” tulisnya ringkas, menggambarkan betapa proses ini masih berjalan, namun dikelilingi sokongan insan terdekat.

Bagi ramai yang mengikuti kisah ini, doa terus mengiringi perjalanan mereka agar pemulihan berjalan sempurna dan pengorbanan ini menjadi permulaan hidup yang lebih tenang buat pasangan tersebut.

Detik itu menjadi simbol cinta, kesetiaan dan pengorbanan sebenar dalam sebuah ikatan perkahwinan.

Kisah ini menerima pelbagai reaksi netizen yang tersentuh. Ramai menyifatkannya sebagai definisi sebenar cinta, kesetiaan dan makna ‘pasangan hidup’ yang sering disebut tetapi jarang diuji sehingga ke tahap sebegini.

Sumber : Thread myozstories

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy