Jika sebelum ini kita perlu turun di Stesen Kl Sentral untuk pertukaran penggunaan pengangkutan awam melibatkan sistem transit aliran ringan, Komuter, MRT dan sebagainya, sejak tiga hari lalu, pengguna tidak perlu turun di stesen tersebut sebaliknya boleh berbuat demikian di Stesen Pasar Seni.
Ini kerana sebuah jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Stesen LRT Pasar Seni dengan Stesen KTM Kuala Lumpur telah dibuka sekaligus menyediakan kesalinghubungan langsung dan mudah untuk pengguna pengangkutan awam bertukar dari perkhidmatan tren MRT dan LRT ke KTM.
Jejantas sepanjang 102-meter telah dibina oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaras dengan skop kerja MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd merupakan rakan pelaksana projek dan Trans Resourced Corporation Sdn Bhd ialah kontraktor kerja tersebut.


Selain pembinaan jejantas melintasi Sungai Klang, kerja-kerja juga termasuk pengubahsuaian dan penambahbaikan kawasan ruang legar dan platform Stesen LRT Pasar Seni, dan juga kawasan pintu masuk Dayabumi di Stesen Kuala Lumpur.
Kerja pembinaan telah bermula pada April 2016 dan telah dijadualkan untuk disiapkan pada Disember 2019. Kos kerja ialah RM103.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Encik Abdul Yazid Kassim berkata bahawa beliau berharap jejantas baharu ini akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kerana ia akan membolehkan pertukaran di antara perkhidmatan tren MRT, LRT dan KTM dengan lebih mudah dan selesa.
“Kesalinghubungan yang sempurna merupakan salah satu daripada elemen paling penting dalam pengangkutan awam kerana ia menjadikan pertukaran di antara perkhidmatan dan mod lebih mudah dan cekap. Tanpa kemudahan sedemikian, orang ramai akan hilang minat untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.


Beliau berkata bahawa melihat kepada Stesen MRT Pasar Seni turut dihubungkan dengan lancar dengan Stesen LRT Pasar Seni, ketiga-tiga stesen kini akan menjadi tempat pertukaran utama untuk perkhidmatan tren MRT, LRT dan KTM.
“Jejantas juga direka bentuk untuk menyediakan integrasi tambang pada masa hadapan di antara sistem kutipan tambang LRT-MRT dan juga KTM. Kami berharap suatu hari nanti, pengguna hanya perlu berjalan kaki dari Stesen LRT ke Stesen KTM dan sebaliknya secara terus tanpa perlu melalui sebarang pintu tiket atau membeli tiket baharu,” kata beliau.
Yazid mengucapkan tahniah kepada PDP dan kontraktor yang telah berjaya menyiapkan jejantas lebih awal dari waktu yang ditetapkan dan juga pembinaan yang berkualiti. Beliau berkata bahawa pemilikan, operasi dan penyelenggaraan jejantas kini adalah di bawah Prasarana.
“Jejantas yang akan dibuka kepada penumpang seawal 6 pagi pada Jumaat, 8 November 2019,” kata Abdul Hadi Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.
Beliau berkata: “Pengguna yang keluar dari Stesen KTM Kuala Lumpur yang ingin bertukar ke LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang digalakkan untuk menggunakan jejantas pejalan kaki baru kerana ia akan memendekkan masa pertukaran mereka”.
Anda mungkin berminat dengan
“Selain itu, kemudahan walkalator telah dipasang di jejantas pejalan kaki untuk meningkatkan lagi pengalaman perjalanan kepada para penumpang”.

Jejantas baharu ini menghubungkan secara langsung aras ruang legar Stesen KTM Kuala Lumpur di pintu masuk Dayabumi dengan kawasan berbayar Stesen LRT Pasar Seni. Dari sini, pengguna yang ingin ke Stesen MRT Pasar Seni hanya perlu berjalan ke eskalator menghala ke bawah terus ke Stesen MRT yang bertentangan dengan jejantas baharu.
Jejantas baharu ini dilengkapi kipas dan pencahayaan yang cukup dan juga sepasang walkalator menjadikan perjalanan di antara stesen lebih mudah dan selesa. Satu set pintu tiket turut dipasang untuk memberikan akses yang lebih mudah untuk ke Stesen LRT.
Papan tanda baharu juga telah dipasang di Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen KTM Kuala Lumpur untuk membantu pengguna menuju ke destinasi mereka.
∞
Skop Productions, dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, mempersembahkan filem aksi terbaru mereka, Blood Brothers: Bara Naga.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 10 April 2025, membawa penonton menyelami dunia mafia yang jarang diterokai dalam filem tempatan.
Tayangan perdana filem ini telah berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya Isnin lepas, memberikan gambaran pertama tentang filem yang penuh ketegangan, drama, dan aksi mencabar.
BACA LAGI: Sharnaaz Ahmad Akui Sambutan Aidilfitri Paling Suram Tanpa Bapa Tercinta

Dengan arahan daripada dua pengarah terkenal, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang luar biasa.
Barisan pelakon yang membintangi Blood Brothers: Bara Naga termasuk Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, dan Syazwan Zulkifly. Setiap pelakon membawa lakonan yang penuh intensiti dan mampu mengikat perhatian penonton dari awal hingga akhir.
Filem ini berkisarkan perjalanan Ariff (Syafiq Kyle), yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk bekerja di bawah Dato Zul (Wan Hanafi Su), ketua Mafia Naga. Ariff dilantik sebagai pengawal peribadi dalam syarikat keselamatan Silent Guard, sekaligus menjadi Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika sebuah pengkhianatan berlaku, Ariff dituduh sebagai pembelot dan diburu oleh Ghaz untuk dijatuhkan hukuman. Ariff yang terdesak untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, melarikan diri dan meminta bantuan daripada abang kandungnya, Jaki (Syazwan Zulkifly).
BACA LAGI: “Syamsul Kata Nak Kekal Solo Buat Sementara Ini, Mahu Fokus Kerja” -Datuk Yusof Haslam

Akankah Ariff berjaya membersihkan nama dan mendapatkan kembali kepercayaan Ghaz?
Blood Brothers: Bara Naga akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 10 April 2025, namun bagi yang tidak sabar, tayangan awal sudah bermula sejak 8 April 2025 di 146 pawagam terpilih.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem penuh aksi ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pelakon siri drama Squid Game yang mencuri perhatian ramai, Jung Ho-Yeon kini menjadi pelakon wanita Korea dengan jumlah pengikut paling ramai di Instagram, iaitu mempunyai lebih daripada 13 juta pengikut.
Ho-Yeon sebelum ini merupakan model sepenuh masa setelah tampil dalam program realiti Korea’s Next Top Model musim keempat. Dia berjaya mendapat perhatian masyarakat di Korea setelah menempatkan diri sebagai naib juara.
Gadis berusia 27 tahun ini kemudiannya mendapat tawaran berlakon dalam siri Squid Game apabila pengarah drama itu merasakan Ho-Yeon mempunyai aura dengan karakter Kang Seo-Byeok.
Bermula dengan hanya mempunyai 400,000 pengikut di Instagram, Ho-Yeon kini sudah mengatasi pelakon Lee Sung Kyung yang sebelum ini memegang gelaran itu dengan 12.9 juta pengikut dan Song Hye Kyo yang mempunyai 12 juta pengikut.
Model dan pelakon baru ini juga menyifatkan bahawa pertambahan pengikut di media sosial itu adalah satu bentuk penghargaan buat hasil kerjanya.
“Pada mulanya, saya sangat terkejut. Setiap kali saya buka aplikasi Instagram, saya dapati jumlahnya bertambah. Saya fikir ia terjemahan penghargaan orang ramai terhadap Squid Game, dan saya bersyukur. Memikirkan begitu ramai yang memberikan saya sokongan, ia membuatkan saya semakin bersemangat,” jelasnya.
Dalam hanya masa beberapa bulan, pengikut Ho-Yeon di Instagram boleh melonjak sehingga berbelas juta dek kerana penangan kemunculannya dalam drama Squid Game.
Daebak!
Sumber: (1)
∞
Genap dua tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon jelita Datin Intan Najuwa meluahkan rasa terharu apabila sering menerima layanan terbaik daripada suami tercinta, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Menurut Intan, sejak awal perkahwinan lagi dia tidak pernah dibiarkan membuat kerja rumah. Malah, dirinya dilayan penuh kasih sayang seakan seorang puteri.

“Selamat ulang tahun kedua buat cinta dalam hidup saya.
“Dari hari pertama hingga sekarang, awak tak pernah biarkan saya buat kerja rumah, tidak biar saya risau hal-hal kecil.
“Awak manjakan, lindungi dan sayangi saya seperti seorang puteri,” tulisnya di Instagram.

Lebih manis, kehidupan mereka semakin lengkap selepas kelahiran cahaya mata sulung, Imane Lunara.
“Kini dengan hadirnya anak perempuan kita, Lunara cinta kita terasa lebih sempurna dan bermakna.
“Saya bahagia menjalani hidup ini bersama awak,” kongsinya lagi.

Sekadar info, Intan mendirikan rumah tangga bersama usahawan Azraf pada Ogos 2023 dan pasangan ini dikurniakan puteri sulung pada 15 Disember tahun lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞