
Pelakon wanita popular, Siti Saleha baru-baru ini mencuri perhatian peminat apabila muncul di sebuah acara dengan penampilan yang sedikit berbeza apabila bahagian perut yang kelihatan ‘berisi’ menimbulkan tanda tanya sehingga ada yang mempersoal sama ada beliau kini sedang berbadan dua.
Sejak mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen Joshua Fitton pada Februari lalu, pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum (35) itu dilihat lebih tenang dan menjaga privasi. Namun begitu, penampilan terkininya seolah-olah memberi petunjuk bahawa ada khabar bahagia yang cuba disimpan buat masa ini.
Dalam pada itu, memetik laporan Sinar Plus, Siti Saleha sudah pasti tidak dapat mengelak apabila disoal tentang kehamilan tersebut. Namun, beliau dengan gaya santai dan bersahaja menjawab soalan berbunyi,
“Awak tengok je perut saya sekarang, kan baru habis makan tengah hari. Macam mana nak jawab? Tak tahu nak jawab macam mana. Dahlah, soalan seterusnya,” ujarnya berseloroh.
Pada masa yang sama, Siti Saleha juga tidak menafikan video yang tular memaparkan bentuk perutnya. Walaupun tidak mengesahkan secara langsung, nada lembut Siti jelas memberi petunjuk kepada para peminat.
“Ada orang buat video. Betul lah, you didn’t make it up. So, macam mana? Doakan yang baik-baik,” katanya.
“InsyaAllah, mungkin berita bahagia tak lama lagi. Tapi saya tak nak kongsi sekarang. Kita akan tengok,” ujarnya ringkas.
Untuk perkembangan terkini, Siti Saleh turut mendedahkan beliau kini sedang menjalani projek seni terakhirnya bagi tahun ini dan merancang untuk bercuti panjang daripada dunia lakonan menguatkan lagi spekulasi peminat yang seakan-akan ‘yakin’ dengan andaian mereka.
“Lepas ini memang nak ambil cuti panjanglah. Memang nak ambil cuti panjang. Ini projek terakhir saya, cuti panjang dua tahun. Tiga tahun.” katanya.
Sementara itu, di media sosial pula, ramai peminat dan rakan selebriti memberikan sokongan serta doa yang baik-baik buat adik kepada vokalis Bunkface berkenaan. Malah, ramai memuji penampilan terbarunya yang kelihatan makin berseri, serta mengharapkan berita gembira itu bakal diumumkan tidak lama lagi.
Apa-apa pun, kami di Remaja mendoakan yang terbaik untuk Siti Saleha dan keluarga.
Sumber: Sinar Plus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.