
Dalam keterujaan menghasilkan kandungan digital, aspek kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan.
Isu ini kembali hangat diperkatakan apabila seorang jurulatih kecergasan popular, Tareq Fit, tampil menegur secara terbuka bapa kepada seorang pempengaruh kanak-kanak terkenal, Abang Aji, berhubung keadaan fizikal anak itu yang dilihat tidak sihat dan tidak sepadan dengan usia.
Dalam video yang dimuat naik di platform TikTok, Tareq menyuarakan kebimbangan terhadap penampilan fizikal Abang Aji yang disifatkan terlalu besar untuk seorang kanak-kanak. Ujarnya, obesiti dalam usia muda adalah petanda bahaya yang tidak boleh dipandang remeh.
“Kau tak kesian ke keadaan badan anak kau macam ni? Keadaan badan tak sihat langsung,” tegasnya dalam video tersebut.
Kenyataan itu disambut dengan pelbagai reaksi daripada warganet, termasuk mereka yang mula mempersoalkan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan keseimbangan pemakanan dan aktiviti fizikal anak-anak.
@tareqfit #fypmalaysia🇲🇾tiktok❤️ #fypmalaysia🇲🇾tiktokviral #fypmalaysia🇲🇾tiktokviralmalaysia ♬ original sound – TAREQ FIT
Tareq turut mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan anak bukan terletak pada bahu anak itu sendiri, tetapi sepenuhnya di tangan ibu bapa.
“Bila anak kau obes, jangan salahkan anak. Salahkan diri sebab kau yang bertanggungjawab. Kau sebagai ayah & mak kena jaga kesihatan anak kau. Bila anak kau dapat penyakit, kau akan menyesal.”
Teguran tersebut secara tidak langsung membongkar isu lebih besar dalam masyarakat hari ini bagaimana media sosial kadangkala menyebabkan ibu bapa alpa, hingga menjadikan anak sebagai bahan konten tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap fizikal dan mental mereka.
Seiring dengan teguran itu, ruang komen dibanjiri pelbagai pandangan. Ramai yang bersetuju bahawa kesihatan perlu menjadi keutamaan, bukan semata-mata angka tontonan atau populariti di media sosial. Ada juga yang menyuarakan rasa tidak selesa apabila anak kecil dijadikan kandungan utama yang memaparkan tabiat makan berlebihan secara terbuka.
Tindakan itu, menurut mereka, boleh menggalakkan budaya pemakanan tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang menonton.
Menurut Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia telah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini bermakna, lebih ramai anak muda kini berisiko mengalami masalah kesihatan seperti diabetes jenis 2, darah tinggi, dan penyakit jantung seawal usia remaja.
Antara faktor utama:
Pemakanan tidak seimbang
Kekerapan mengambil makanan tinggi gula dan lemak
Kurang aktiviti fizikal
Masa skrin berlebihan
Kurangnya kesedaran ibu bapa tentang pemantauan pemakanan
Kes seperti Abang Aji seharusnya membuka mata ramai, terutama ibu bapa muda dan pencipta kandungan digital yang melibatkan anak-anak. Apa yang dilihat sebagai ‘comel’ dan ‘hiburan’ hari ini, mungkin membawa kesan yang tidak diingini pada masa hadapan.
Penjagaan kesihatan bukan hanya melibatkan makanan atau senaman semata, tetapi merangkumi pendidikan emosi, rutin tidur, keseimbangan digital dan pembentukan tabiat sihat sejak kecil.
Teguran yang dibuat oleh Tareq Fit bukan sekadar luahan marah, tetapi satu bentuk keprihatinan. Dalam dunia digital yang terlalu mudah menjadikan apa sahaja sebagai tontonan, kita semua perlu bertanya – adakah kita sedang melindungi anak-anak, atau mengeksploitasi mereka demi konten?
BACA LAGI : Bahaya Sos Keju ‘Leleh’ Kepada Kesihatan, Risiko Kencing Manis Dan Obesiti
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.