Sukan

Taj Izrin Aiman Hadiahkan Emas Kedua Malaysia, Cipta Sejarah Dalam E-Sukan Di Sukan Asia! Tahniah!

Share

Terbaru, jaguh e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira meraih perhatian selepas berjaya menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya menerusi acara perlumbaan Gran Turismo 7. Kejayaan itu dilakar selepas beliau mengungguli saingan akhir yang berlangsung di Aichi Sky Expo Hall D, Jepun, pada Selasa.

Difahamkan, pelumba yang kini berusia 27 tahun itu menamatkan saingan dengan kutipan mata keseluruhan tertinggi selepas mengharungi tiga perlumbaan final. Keputusan tersebut menyaksikan Taj Izrin mengatasi pencabar dari Arab Saudi dan Korea Selatan untuk dinobatkan sebagai juara.

Lebih membanggakan, pencapaian berkenaan turut mencipta sejarah apabila menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam acara e-sukan di Sukan Asia. Acara Gran Turismo 7 itu sendiri juga merupakan antara disiplin baharu yang julung kali dipertandingkan pada temasya kali ini.

Dalam aksi final, Taj Izrin memulakan perlumbaan dengan rentak konsisten apabila masing-masing menamatkan dua perlumbaan pertama di tempat kedua. Dua keputusan tersebut membolehkannya mengumpul 18 mata sebelum memasuki perlumbaan penentuan.

Walau bagaimanapun, pelumba kelahiran negara itu tidak mensia-siakan peluang pada perlumbaan ketiga apabila tampil lebih agresif dan berjaya mendominasi saingan. Persembahan tersebut akhirnya memastikan kutipan mata keseluruhannya kekal di kedudukan teratas untuk membawa pulang pingat emas.

BACA: Adeola Fay Robert Gemilang! Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2026 Pada Usia 20 Tahun

Kejayaan berkenaan turut menjadi detik istimewa buat Taj Izrin yang merupakan anak didik legenda permotoran negara, Alex Yoong. Gabungan pengalaman dalam dunia perlumbaan dan persaingan e-sukan nyata membantu beliau menghasilkan persembahan konsisten sepanjang saingan.

Sementara itu, sebagai penghargaan terhadap pencapaian tersebut, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) sebelum ini turut menawarkan imbuhan RM20,000 kepada setiap pasukan e-sukan kebangsaan yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Untuk rekod, emas pertama Malaysia pada temasya berkenaan hadir menerusi atlet karate, Adeola Fay Robert dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg). Beliau menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi dengan keputusan 6-4 pada aksi final sehari sebelum kejayaan Taj Izrin melengkapkan koleksi emas kedua negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE