Fesyen

SYOMSZ Suntik Nafas Baharu Buat Penggemar Motif Kain Pelikat Di Pagi Raya Menerusi “Dah Ready?”

Share

Saat bersiap untuk meraiksan musim perayaan Aidilfitri, satu persoalan yang cukup relatable untuk semua keluarga Malaysia adalah – “Dah ready ke belum?”

Itulah nadi koleksi terbaharu jenama SYOMSZ berjudul “Dah Ready?”, satu koleksi berwarna-warni yang mengangkat nostalgia kampung, momen riuh sebelum gambar raya dan definisi gaya moden untuk digayakan secara penuh santai.

Pengasas SYOMSZ, Syomirizwa Gupta.

Menurut perekanya Syomirizwa Gupta, inspirasi koleksi “Dah Ready” tercetus daripada gelagat sesebuah keluarga Melayu yang sedang bersiap-sedia untuk mengambil gambar di pagi Raya.

Momen yang sederhana itu diterjemahkan menjadi rekaan yang bukan sahaja indah dipandang, bahkan juga sarat dengan emosi dan kenangan yang akan disimpan kita untuk selama-lamanya. Pemilihan warna bagi koleksi ini juga dilakukan dengan teliti, selari dengan cerita yang ingin disampaikan.

Kempen “Dah Ready?” oleh SYOMSZ dimeriahkan barisan wajah popular seperti pelakon, Sazzy Falak dan Nazril Idrus bersama anak-anak mereka, serta penampilan istimewa Aunty Aini sebagai nenek kesayangan.

“Bila sebut tentang kampung, saya ambil warna dan elemen yang dekat di hati serta mempunyai simbolik disebaliknya.

“Seperti warna hijau yang diinspirasikan daripada suasana kampung, warna coklat daripada warna rumah-rumah tradisional di kampung serta warna fuchsia, putih dan turquoise yang sinonim dengan kemeriahan Ramadan dan Syawal,” katanya ketika ditemui oleh Remaja semasa pelancaran koleksi, baru-baru ini.

Hasilnya, koleksi ini tampil ceria dengan karakter tersendiri tanpa menjejaskan sentuhan klasik yang menjadi tunjangnya.

“Dengan identiti Syomsz, kami mengetengahkan konsep tidak terikat kepada jantina, tidak terhad kepada saiz dan juga mesra untuk umrah dan wuduk kerana semuanya menggunakan fabrik semula jadi sepenuhnya.” – Syomirizwa GUPTA

Pada masa yang sama, antara soroton paling mencuri perhatian dalam koleksi ini adalah penggunaan kain pelikat. Dalam pada rumah fesyen lain menawarkan rekaan berfabrik batik, songket mahupun brocade

; Syomirizwa meraikan fabrik yang sering ‘dipandang biasa’.

“Kadang-kadang kain pelikat ini dilupakan. Walaupun ada yang cakap kain pelikat ini asalnya bukan dari Malaysia, tetapi kita tahu semua lapisan masyarakat menggunakan kain ini.

“Jadi saya ketengahkan kain pelikat sebagai satu fabrik yang patut diraikan,” jelasnya.

Beliau turut menambah penggunaan kain linen dan kain kapas dalam rekaan memandangkan kedua-duanya bersesuaian dengan iklim tropika Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Pemilihannya bukan sekadar memenuhi aspek estetika, malah praktikal untuk memastikan keselesaan maksimum ketika digayakan sepanjang hari.

Di samping itu, Syomirizwa turut sempat berkongsi sisi romantis mengenai kain linen yang sering disalah faham.

“Ramai yang cakap fabrik ini mudah kedut tapi sebenarnya ia memang diciptakan untuk meraikan kedut. Lagi mahal dan tulen linen itu, lagi kedutlah dia”

“Itu keindahan linen, cuma mesti gosok dulu sebelum pakai. Selain itu, lebih kerap kita cuci, semakin lembut dan selesa dipakai,” ujarnya.

Jadi ya, kedut bagi pemakai SYOMSZ bukan satu kecacatan – ia adalah lambang karakter.

Koleksi “Dah Ready?” oleh SYOMSZ hadir dengan 19 rekaan versatil yang menampilkan kebaya linen, kurta santai, skirt pareo lilit, seluar lilit gender-neutral, jubah moden serta selendang kapas bercorak kotak.

Untuk yang menggemari persalinan kontemporari dan praktikal untuk Raya kali ini, korang boleh mula mendapatkannya di The Campus Ampang, di ruang pamer SYOMSZ di Bangsar atau menerusi platform dalam taliannya bermula RM190 hingga RM690.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE