Berita

Syed Saddiq Sokong Tiada Ujian Diagnostik Darjah Satu, Elak Sistem Kasta Pendidikan

Share

Syed Saddiq sokong keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik murid Darjah Satu kerana langkah tersebut dilihat mampu mengelakkan pembentukan sistem kasta pendidikan dalam kalangan kanak-kanak seawal usia enam tahun.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu merupakan pendekatan wajar demi memastikan sistem pendidikan negara kekal adil, inklusif serta tidak membebankan murid ketika mereka baru memasuki alam persekolahan.

Menurut beliau, pelaksanaan ujian kemasukan atau ujian diagnostik pada peringkat awal berisiko melabel kebolehan kanak-kanak sebelum mereka benar-benar bersedia dari segi emosi, sosial dan perkembangan pembelajaran.

Hargai Kesediaan Perdana Menteri Terima Cadangan

Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesediaan menerima cadangan yang dibangkitkannya di Parlimen berhubung isu ujian diagnostik bagi kemasukan murid ke Darjah Satu.

“Cadangan saya di Parlimen diterima oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiada lagi ujian kemasukan, kelayakan atau diagnostik bagi anak-anak berusia enam tahun yang mahu memasuki Darjah Satu.

“Tiada lagi sistem kasta pendidikan pada usia yang terlalu muda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa bantahannya terhadap pelaksanaan ujian tersebut bukan sekadar kritikan, sebaliknya disertakan dengan solusi yang selari dengan matlamat memperbaiki sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

Keputusan Kerajaan Elak Tekanan Awal Kanak-Kanak

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas bagi kemasukan ke Darjah Satu melibatkan murid berusia enam tahun, bagi mengelakkan bebanan akademik serta tekanan emosi pada peringkat awal persekolahan.

Dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pendidik, pakar pendidikan awal kanak-kanak serta kebimbangan ibu bapa.

Selain itu, kerajaan memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan penglibatan ibu bapa, berbanding menilai kanak-kanak hanya melalui satu bentuk ujian formal semata-mata.

Sokong Dasar Baik, Perbaiki Yang Perlu

Syed Saddiq menjelaskan bahawa dasar membenarkan kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu merupakan langkah yang baik dari sudut prinsip dan selari dengan piawaian pendidikan antarabangsa.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa keperluan ujian kelayakan sebelum kemasukan ke Darjah Satu perlu diperhalusi kerana berpotensi menimbulkan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak.

Menurut beliau, keperluan untuk lulus ujian sebelum memasuki Darjah Satu boleh menyebabkan sebahagian kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan selama setahun, selain memberi kesan psikologi seperti tekanan, rasa rendah diri dan kehilangan keyakinan.

“Dasar ini baik, cuma perlu diperhalusi keperluan ujian diagnostik atau ujian kelayakan. Itu sahaja,” katanya.

Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik murid Darjah Satu ini dilihat sebagai langkah positif ke arah membina sistem pendidikan yang lebih mesra kanak-kanak, adil serta menyokong perkembangan menyeluruh dari segi akademik dan emosi.

BACA LAGI : Kasut Diikat Getah Undang Simpati, Rupa Murid Pula Jadi Perhatian

Sumber : Sinar Harian

Published by
Nana