
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan terhadap beliau berkaitan empat pertuduhan jenayah termasuk pecah amanah, salah guna wang, dan pengubahan wang haram.
Keputusan sebulat suara itu diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, yang memutuskan sabitan sebelum ini tidak kukuh dan terdapat keraguan munasabah terhadap keseluruhan kes yang dibawa pihak pendakwaan.
Dalam penghakiman ringkas yang dibacakan oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin, Mahkamah Rayuan menyatakan tiada sebarang bukti menunjukkan Syed Saddiq mengarahkan wang dikeluarkan untuk disembunyikan atau digunakan untuk tujuan peribadi.
“Tiada yang jahat apabila Syed Saddiq sebagai Ketua Armada menggunakan wang tersebut untuk program-program Armada. Duit yang dibelanjakan adalah untuk aktiviti dan kepentingan Armada sahaja. Memberi arahan untuk melakukan pengeluaran tidak termasuk dalam maksud bersubahat,” ujar beliau.
Tambah beliau, selepas menilai sepenuhnya keterangan pembelaan, mahkamah mendapati ia bukan sekadar penafian kosong.
“Kami sebulat suara mendapati sabitan tidak dapat dipertahankan. Perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman,” kata Hakim Noorin dalam prosiding yang berlangsung selama satu jam 11 minit.
Dengan keputusan tersebut, Syed Saddiq, 32, bebas daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda sebanyak RM10 juta yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Dalam satu sidang media ringkas selepas prosiding, Syed Saddiq menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan untuk proses keadilan di Malaysia.
“Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan selama ini. Ini bukan sahaja kemenangan peribadi saya, tetapi juga bukti bahawa sistem kehakiman kita masih berpegang pada prinsip keadilan,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pasukan peguam bela yang diketuai oleh Gobind Singh Deo atas komitmen dan usaha mereka sepanjang proses perbicaraan dan rayuan.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, sebelum ini berdepan empat pertuduhan, termasuk pecah amanah melibatkan dana RM1 juta milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa beliau menjawat jawatan Ketua Armada Bersatu.
Selain itu, beliau turut didakwa atas kesalahan salah guna wang sumbangan politik sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.
Mahkamah Tinggi mendapati ahli politik muda itu bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Syed Saddiq diberi penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dan hari ini rayuannya berjaya! Alhamdulillah…
BACA: Syed Saddiq Kini Duta Minyak Wangi, Sumbang RM100,000 Untuk Muar
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.