
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita pemergian tokoh pemikir peradaban Islam tersohor, Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.47 petang, semalam. Pemergian tokoh ilmuwan berpengaruh itu disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam serta bidang pemikiran di Malaysia.
Untuk pengetahuan ramai, sepanjang hayatnya, Allahyarham terkenal dengan sumbangan besar dalam bidang falsafah, teologi, metafizik, sejarah, kesusasteraan serta pemikiran tamadun Islam. Pada 23 Oktober 2024, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Pendidikan Islam oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta sumbangannya kepada pembangunan ilmu dan pendidikan Islam.
Dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia, Allahyarham berkahwin dengan Latifah Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.
Dalam pada itu, Allahyarham merupakan pengasas serta pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC). Beliau juga pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2012.
Sebelum bergiat aktif dalam dunia akademik, beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai kadet dalam Rejimen Askar Melayu. Pada tahun 1965, Dr Syed Muhammad Naquib dilantik sebagai Ketua Bahagian Sastera di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Antara tahun 1968 hingga 1970, beliau berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Seni Universiti Malaya. Allahyarham juga pernah menjadi Ketua Jabatan Bahasa Melayu dan Sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum dilantik sebagai Dekan Fakulti Seni universiti tersebut.
Pada tahun 1973, beliau mengasaskan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sepanjang kerjayanya, beliau turut memegang pelbagai jawatan penting dalam institusi akademik antarabangsa termasuk sebagai ahli lembaga penasihat bagi beberapa pusat pengajian berkaitan tamadun dan pemikiran Islam.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ilmuwan tersebut.
“Seluruh warga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah pulang ke rahmatullah pada jam 06.47 petang, 8 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447H,” tulisnya dalam satu kenyataan di Facebook.
ABIM turut memaklumkan bahawa Allahyarham merupakan pencipta logo rasmi pertubuhan itu yang masih digunakan sehingga hari ini serta pencetus idea kepada penerbitan Risalah ABIM.
Jenazah Allahyarham dijadualkan disolatkan di Masjid Al-Taqwa pada pagi Isnin (9 Mac) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.