Umur bukan penghalang untuk terus menimba ilmu, itu yang dibuktikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Apa yang lebih bermakna, beliau turut berkongsi pentas konvokesyen bersama dua orang anaknya iaitu Mohd Alinur Haqqim dan Nur Aisyah Hanim yang menerima ijazah dalam bidang sama pada Majlis Konvokesyen ke-101 UiTM semalam.
Berkongsi detik membanggakan itu, Razali berkata beliau memulakan pengajian MBA pada tahun 2021 ketika masih bergelar Senator di Dewan Negara.
“Walaupun ketika itu, jadual saya sangat sibuk dengan pelbagai tugas rasmi, namun dengan izin Allah SWT, saya berjaya tamatkan pengajian ini.
“Saya juga sempat menangguh satu semester untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, di mana saya bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Sebagai Exco Pelancongan dan Wakil Rakyat Kijal, beliau berharap ilmu yang diperoleh dapat memberi impak positif kepada pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan.
Ads
“Saya berharap ilmu yang saya peroleh dapat digunakan untuk membantu menguruskan negeri dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Ads
“Saya berharap golongan muda agar tidak berputus asa mengejar ilmu walaupun mungkin menghadapi cabaran di awal perjalanan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kegagalan awal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Apa yang penting adalah semangat untuk terus mencuba dan berusaha mencapai kejayaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sistem perniagaan yang mengamalkan konsep pemasaran pelbagai peringkat atau popular dikenali sebagai multi-level marketing (MLM) menjadi modus operandi pelbagai jenis perniagaan di Malaysia. Jika kita hendak kenal dengan perniagaan jenis ini mudah sahaja, mereka yang cuba merekrut anda sebagai rakan perniagaan baharu atau ‘downline’ akan menabur janji manis dengan segala bentuk kemewahan.
Pendapatan yang dijanjikan boleh mencecah sehingga ke lima angka dengan insentif seperti melancong ke luar negara dan juga dihadiahkan kereta mewah antara keindahan yang menjadi senjata untuk mencari individu menyertai perniagaan tersebut. Hakikatnya, yang berjaya ke atas hanyalah segelintir sahaja. Konsepnya mudah, semakin banyak ‘downline’ semakin kayalah orang yang di atas.
REMAJA menemubual Nadia Nadzaruddin,34, yang pernah terjerat dengan perniagaan ini pada tahun 2017. Diyakinkan oleh teman sendiri untuk menyertai sebuah perniagaan MLM yang fokus menjual pelbagai produk dari korset, produk kecantikan, produk kesihatan, produk penjagaan kereta sehinggalah pes makanan, dia kini menanggung beban hutang RM30 ribu dan hampir muflis kerana terjerat dengan bisnes tersebut. Segala janji yang ditabur pada awal menyertai bisnes tersebut umpama menanam tebu dipinggir bibir oleh si sahabat.
“Mulanya saya terjebak dengan bisnes MLM ini kerana mahu mencari pendapatan tambahan walaupun sudah bekerja ketika itu. Impian hanyalah mahu ada wang sampingan yang boleh dilakukan secara sambilan dan santai pada masa yang sama boleh menjana satu lagi pendapatan yang lain,” kongsinya apabila ditanya bagaimana dia boleh terdetik untuk menyertai bisnes berkonsepkan MLM.
Pendapatan yang dijanjikan setiap bulan menjadi faktor kenapa wanita kecil molek ini terpedaya dan dikaburi dengan janji manis yang ditabur. Ditambah pula dengan semangat berkobar untuk mencari pendapatan tambahan menjadikan dia meneruskan niat untuk melibatkan diri.
“Saya menyertai dengan perniagaan ini lebih kurang setahun. Pada bulan pertama, memang saya dapat wang insentif seperti yang dijanjikan dan merasa pendapatan tambahan yang sangat ekstra. Tetapi selepas itu kalau saya mahu kekalkan pendapatan seperti yang saya dapat ketika bulan pertama, saya perlu melakukan jualan barang contohnya sebanyak RM15 ribu kemudian barulah boleh dapat pendapatan yang seperti yang diperolehi ketika bulan pertama.
“Tapi bagaimana saya nak jana nilai penjualan sebanyak itu? Biasalah, dalam sistem MLM kita tak boleh buat bisnes seorang diri. Saya kena cari orang bawah, jadi bila ada orang bawah baru boleh berkembang. Sebenarnya, ketika itu saya sudah perasan yang apabila lagi ramai orang bawah yang kita dapat rekrut maka lagi banyak jualan yang boleh dibuat dalam sebulan,” ujarnya menceritakan pengalamannya.
Yang manis semua ditabur, yang pahit semua disorok. Inilah yang boleh REMAJA katakan mengenai mereka yang mahu mencari orang bawahan untuk menampung jualan mereka. Menurut Nadia lagi, segala kepayahan untuk melakukan jualan dan juga keburukan tidak diceritakan oleh individu yang merekrut dirinya. Apa yang dihujahkan adalah nilai wang yang banyak yang bakal diperoleh. Bila sudah menyertainya barulah dia tersedar yang ia tidak seindah yang dijanjikan.
Wang yang banyak menjadi janji manis mereka yang mahu merekrut orang baru sebagai downline
REMAJA tertarik untuk mengetahui keputusan nekad dirinya sampai sanggup melakukan pinjaman sebanyak RM30 ribu semata-mata untuk lebih maju di dalam perniagaan MLM. Bukan sedikit nilai wang tersebut.
“Yang mencadang untuk saya membuat pinjaman adalah orang yang merekrut saya juga, dia meyakinkan saya untuk membuat pinjaman dan ada stok saya sendiri agar tidak perlu bersusah-payah mengambil stok setiap kali ada pembelian kerana stok sudah ada dalam simpanan sendiri. Ketika itu tengah teruja dan dikaburi dengan janji manis duit yang akan diperolehi, memang saya tak berfikir panjang.
“Kesudahannya apabila tiada orang bawahan yang hendak beli memang tidak terjual produk-produk itu semua. Sebab sebenarnya yang membeli dari kita adalah orang yang direkrut sebagai ‘downline’ juga. Kalau nak tahu, ketika saya membuat pinjaman untuk membeli stok tersebut saya ada pinjaman lain yang berbaki hanya RM5 ribu sahaja, jadi dengan wang pinjaman baharu, saya tutup hutang lama dan menganggung hutang lain pula,” ujarnya dengan nada sedikit kesal atas keputusan yang dibuat ketika itu.
Menurut Nadia lagi, sahabat yang merekrut dirinya berjaya melayakkan diri untuk mendapat insentif trip pelancongan ke luar negara sebaik sahaja dia melakukan pembelian produk bernilai RM20 ribu untuk dijadikan stok. REMAJA terbayang dan tertanya-tanya, jadi apabila stok yang banyak tidak terjual, apakah yang dilakukan oleh individu yang merekrut yang dikenali sebagai upline untuk membantu downline mereka?
Jawab Nadia, “Bayangkan ketika itu saya hanya mampu menjual lebih kurang lapan produk sahaja sebulan. Upline ketika itu tidak berbuat apa-apa, hanya terus menyokong dan memberitahu berapa ramai yang perlu dicari untuk membeli. Ada kelas coaching dilakukan menerusi aplikasi whatsapp, mereka berkongsi input namun tidak ada istilah untuk mereka membantu kita mencari downline. Mula-mula rasa terkapai-kapai, tetapi selepas itu saya cuba memahami dan mencuba untuk menjual.
“Sehinggalah stok-stok semua tidak terjual. Saya guna untuk kegunaan sendiri dan beri kepada ahli keluarga secara percuma selain jual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding kos. Kesudahannya, secara jujur bila dah sampai tarikh luput, saya kumpulkan di dalam kotak dan buang di tong sampah.”
Apa hendak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Perkara yang boleh dilakukan oleh Nadia adalah bangkit untuk berdepan dengan kesilapan yang dilakukannya. Pada permulaan dia perlu membayar sehingga RM800 sebulan bagi membayar semula pinjaman, namun kini dengan bantuan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit dia hanya membayar RM350 sahaja sebulan. Jika lalai dalam melakukan pembayaran dia boleh dikenakan status muflis. Apabila nama sudah tersenarai di dalam sistem AKPK adalah sukar baginya untuk melakukan sebarang pinjaman walaupun bergaji besar.
Nadia berpesan, “Jangan sesekali tertipu dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan yang luar biasa apatah lagi dengan sistem yang perlu mencari downline. Kini, kalau saya terdengar rakan-rakan atau ahli keluarga yang mahu menyertai perniagaan MLM saya akan berpesan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang saya lakukan.”
Kepada pembaca REMAJA di luar sana, jadikan kisah wanita ini sebagai satu pengajaran agar tidak terlalu ralit melihat kemewahan yang dipaparkan sesetengah modus operandi perniagaan sehingga menjerat diri sendiri. Kejayaan itu bukan datang bergolek, duit juga tidak terbang melayang begitu sahaja. Kaji dahulu jenis perniagaan yang hendak diceburi. Konsep perniagaan yang perlu mencari downline lebih kepada menyusahkan, jika tidak berjaya merekrut orang dan ditambah pula lambakan stok yang tidak terjual, siapakah yang bakal tanggung rugi? Tepuk dada tanya selera.
*** Penulis pun pernah diperdaya teman kononnya nak keluar makan. Sekali dibawanya ke tempat ceramah MLM, disitulah ada makan-makan. Memang ramai sungguh manusia. Bermacam dakyah digunakan, kononnya jadi kaya hantar mak ayah ke Mekah. Berjaya dalam bisnes boleh memandu BMW, boleh beli rumah banglo bertingkat-tingkat. Umph! Terus penulis keluar dewan, panggil teksi dan balik rumah. Sebab kawan tu yang jemput! Tapi khabarnya, kawan tu masih lagi pakai kereta lama takde pula berganti Mercedes Benz!
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Siapa tidak kenal dengan watak Upin & Ipin, sejak muncul di televisyen lebih satu abad, ia muncul sebagai siri animasi yang menjadi hiburan selain sebagai mendidik anak-anak.
Diterbitkan oleh Les’ Copaque, siri animasi yang berlatarkan suasana kampung serba santai diminati seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
Baru-baru ini, YouTube Les’ Copaque muncul sebagai saluran yang berjaya menjana pendapatan tertinggi di negara sejak diperkenalkan.
Menurut senarai yang terbitkan oleh CashNetUSA, saluran YouTube tersebut telah berjaya menjana pendapatan sebanyak $16.73 juta (RM71 juta).
Ia sekali gus menjadikan syarikat berkenaan yang juga pengeluar animasi Upin & Ipin antara lima saluran paling menguntungkan di Asia Pasifik.
Selain itu, menurut Saving Spot, saluran YouTube paling menguntungkan ketika ini adalah kandungan yang menyasarkan golongan kanak-kanak. Berdasarkan senarai itu juga, rancangan kanak-kanak Didi & Friends turut berjaya menjana $10.56 juta (RM45 juta) setakat ini.
Sekadar informasi, Les’ Copaque telah ditubuhkan pada Disember 2005 dan merupakan salah satu produksi terkemuka dalam industri animasi tempatan dengan penciptaan Upin & Ipin.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Selepas berjaya melakar sejarah menjuarai Badminton Terbuka China, jaguh beregu lelaki negara, Nur Izzuddin dan isteri tercintanya, Mawar Mutiara selamat menimang cahaya mata sulung mereka.
Berita gembira itu dikongsikan isterinya di platform Instagram sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.
“One year entwined in love’s embrace, now blessed with a new life’s grace. Happy first anniversary, my love,” coret Mawar dengan penuh gembira.
Menerusi hantaran tersebut, dapat dilihat Izzuddin sedang mengendong bayinya itu dengan penuh kasih sayang sementara disampingnya ada isteri tersayangnya.
Pasangan itu bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci mengenai cahaya mata sulung mereka itu.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna sempat mengucapkan tahniah selain mendoakan yang baik-baik buat bayi comel pasangan merpati dua sejoli itu.
Sekadar info, Nur Izzuddin dan Mawar selamat diijabkabulkan dengan berwalikan bapa pengantin perempuan pada September tahun lalu.
Sekilas kejayaan terbaharu Izzuddin, dia dan pasangan beregu Goh Sze Fei telah menjuarai badminton Terbuka China sekali gus menjadi beregu pertama Malaysia rangkul gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 dan kemarau 35 tahun Malaysia bagi muncul juara beregu lelaki di Terbuka China.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Mawar Mutiara
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!