
Bintang K-Pop terkenal, Felix dari kumpulan popular Stray Kids baru-baru ini menyentuh hati para peminat apabila memilih untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 dengan penuh makna dengan mendermakan sebanyak 200 juta Won Korea (kira-kira RM700,000) kepada beberapa badan kebajikan antarabangsa dan tempatan.
Memetik laporan media Korea Selatan, sumbangan tersebut diagihkan kepada tiga organisasi berbeza iaitu 100 juta Won Korea kepada Samsung Medical Center untuk membantu kos rawatan pesakit kanak-kanak, 50 juta Won Korea kepada UNICEF bagi projek air bersih dan nutrisi di Laos, serta 50 juta Won Korea kepada World Vision untuk program sokongan kanak-kanak.
Menurut Felix atau nama sebenarnya Lee Yong Bok mengakui beliau sangat terharu kerana dapat berkongsi kasih sayang yang selama ini diterima daripada peminat melalui kerja amal.
“Berkat cinta yang tak pernah berhenti dari para peminat, saya sangat tersentuh dan merasa terhormat dapat mengambil bahagian dalam berkongsi demi masa depan cerah anak-anak, baik di Korea maupun di luar negara. Saya sungguh berharap mereka semua dapat bermimpi dengan bebas,” katanya.


Dalam pada itu, apa yang lebih menarik, ini bukan kali pertama Felix menyambut ulang tahun dengan cara seperti ini. Pada tahun lalu, beliau juga membuat sumbangan kepada UNICEF dan World Vision di mana hal ini telah menjadi salah satu tradisi hari lahirnya agar lebih bermakna.
Selain itu, pelantun lagu ‘Unfair’ dan ‘Deep end’ ini pernah beberapa kali menyumbang kepada UNICEF dengan jumlah keseluruhan 150 juta Won Korea bagi membantu kanak-kanak di Laos yang berdepan masalah kekurangan zat makanan serta isu air bersih. Malah, beliau sendiri sempat turun padang untuk melawat lokasi projek tersebut di Laos.
Bukan itu sahaja, pada Februari 2023 Felix menyumbang dalam usaha bantuan kecemasan untuk mangsa gempa bumi di Turki dan Syria. Penyanyi rap ini juga terlibat dalam projek sokongan kanak-kanak di Korea pada September 2024, serta menyokong misi pemulihan pasca kebakaran hutan di Gyeongnam dan Gyeongbuk pada April 2025.

Sementara itu, di media sosial pula, sikap dermawan Felix membuatkan ramai pihak terutamanya peminat kagum kerana beliau membuktikan populariti boleh digunakan untuk membawa perubahan positif, bukan sekadar di pentas hiburan tetapi juga dalam kehidupan sebenar.
Untuk perkembangan terkini, Stray Kids kini sibuk membuat persiapan persembahan encore jelajah dunia mereka ‘dominATE’ yang dijadualkan berlangsung di Stadium Incheon Asiad pada 18 dan 19 Oktober ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!


















