
Aktres versatil, Nabila Huda kini membuktikan dirinya bukan sahaja berbakat di layar perak, malah turut berjaya dalam dunia perniagaan makanan.
Rezeki berpihak kepadanya apabila produk sos pasta jenamanya, Amore In Cucina, mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sebaik sahaja dilancarkan.
Menurut pelakon filem Telaga Suriram itu, dia kini menikmati rutin baharu sepanjang bulan Ramadan apabila sibuk menguruskan perniagaan sos pasta miliknya.
“Sebenarnya nak keluarkan pada tahun lepas tetapi aturan Tuhan, saya akhirnya ada sos pasta sendiri tahun ini.
“Saya sangka tiada sambutan, sekali habis semua dan sampai sekarang memang hidup saya tengah sibuk tentang tomato,” katanya.
Nabila mengakui sikapnya yang cerewet dalam memilih makanan, khususnya pasta, menjadi antara faktor utama dia menghasilkan produk tersebut.
“Saya jenis akan pastikan produk yang dijual ini seperti rasa makanan yang saya makan dekat rumah. Sebab tu saya memang sangat cerewet.
“Jadi, saya guna resipi ‘home-cook’ sebab niat pertama nak orang rasa kasih sayang daripada hidangan yang saya masak itu.
“Saya juga tak akan jual produk yang biasa-biasa tetapi mahu pembeli dapat rasa sos pasta premium sama seperti saya makan di rumah,” ujarnya.
Dek kerana permintaan yang semakin tinggi, Nabila kini berdepan cabaran untuk memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi.
“Saya ‘order’ tomato terlalu banyak baru-baru ini, sampai sudah tak terkira jumlahnya.
“Sekarang saya sedang mencari ladang tomato. Kalau dapat, mudah untuk dapat pembekal tomato berterusan dan mungkin harga juga lebih murah,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.