
Pelakon Korea Selatan, Song Young Kyu yang popular menerusi watak Choi Ban-jang dalam filem berjudul ‘Extreme Job’ baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia pada usia 55 tahun dan kini dalam siasatan pihak polis.
Memetik laporan MBN pada 4 Ogos, Song ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan rumah bandar di Yongin, Gyeonggi-do sekitar jam 8 pagi dan penemuan itu disahkan oleh seorang kenalan yang kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, pihak polis memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian pelakon tersebut. Selain itu, kes ini menarik perhatian ramai kerana ia berlaku tidak lama selepas isu kontroversi memandu dalam keadaan mabuk yang melibatkan Song terdedah kepada umum.
Difahamkan, pada 19 Julai lalu sekitar jam 11 malam, Song memandu sejauh kira-kira lima kilometer dari Giheung-gu ke Cheoin-gu selepas minum bersama rakan-rakannya. Bacaan alkohol dalam darahnya dilaporkan melebihi had yang membolehkan lesen memandu digantung iaitu lebih daripada 0.08%.
Akibat kes tersebut, Song telah didakwa tanpa penahanan dan semua aktiviti beliau dalam dunia seni dibekukan. Pada masa yang sama, Song turut menarik diri daripada pementasan teater ‘Shakespeare in Love’ dan penampilannya dalam dua drama iaitu ‘Try: We Become Miracles’ serta ‘iShopping’ diputuskan untuk disunting oleh pasukan produksi.
Song pada ketika itu sedang membintangi watak pastor Yoon Se-hoon dalam drama ‘iShopping’ serta sebagai Kim Min-joong, pengarah pasukan ragbi di Sekolah Tinggi Daesang dalam ‘Try: We Become Miracles’.
Sementara itu, jenazah mendiang kini disemayamkan di Ruang Khas 1, Aula Pemakaman Hospital Davos, Yongin. Manakala, upacara pengebumian dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos ini, jam 8 pagi dan akan dikebumikan di Taman Memorial Hambaksan.
Berita pemergian Song Young Kyu mengejutkan peminat hiburan Korea yang mengenalinya sebagai pelakon serba boleh dengan bakat menghidupkan pelbagai karakter di layar kaca dan pentas teater.
Salam takziah kami ucapkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.