
Selepas hampir setahun kontroversi kurang enak berlegar di media sosial, pelakon Korea Selatan, Song Ha-yoon baru-baru ini akhirnya membuka mulut dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menuduhnya melakukan keganasan buli semasa zaman persekolahan.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh firma guamannya, Jium, pelakon ‘Marry My Husband’ itu telah memfailkan aduan jenayah terhadap individu bernama “A” yang merupakan sumber asal tuduhan buli sekolah tersebut atas kesalahan fitnah.
“Sejak dari awal, Song Ha-yoon kekal dengan pendirian bahawa tuduhan tersebut tidak benar,” jelas kenyataan itu.
“Namun untuk membuktikan sesuatu yang tak pernah berlaku memang sukar, dan ini menjadikan proses mempertahankan diri lebih mencabar,” ujarnya lagi.
Sepanjang tahun lepas, Song secara peribadi mengumpul bukti dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Pada masa yang sama, pihak polis mendapati terdapat asas yang kukuh untuk memulakan siasatan. Bagaimanapun, “A” yang mendakwa dirinya warganegara Amerika Syarikat (AS) dan kini menetap di sana, enggan memberikan bekerjasama.
Menurut polis, melalui pengesahan rasmi termasuk daripada Kementerian Kehakiman, “A” masih memiliki kewarganegaraan Korea Selatan. Walaupun pihak berkuasa beberapa kali cuba menghubungi dan memanggilnya pulang, “A” tetap tidak hadir ke Korea mahupun memberi maklum balas.
Dalam pada itu, polis juga mengeluarkan notis orang dikehendaki dalam sistem nasional mereka pada Mei lalu dan ini bermakna sekiranya “A” masuk ke Korea, siasatan akan disambung serta-merta. Dalam masa yang sama, pihak Song turut mempertimbang tindakan undang-undang di AS terhadap penyebar fitnah lain.
Sementara itu, pasukan guaman pelakon wanita itu turut menegaskan bahawa Song tidak pernah memukul atau terlibat dalam insiden buli terhadap “A” di sekolah dan tidak pernah dipindahkan secara paksa kerana isu buli.
Malah, bukti-bukti rasmi, kenyataan yang disahkan, dan saksi termasuk guru kelas serta rakan sekolah juga mengesahkan bahawa tiada kejadian seperti yang didakwa.
“Selama 22 tahun, Song Ha-yoon membina reputasi sebagai pelakon. Namun, segala-galanya terjejas hanya kerana tuduhan tidak berasas ini,” jelas mereka.
“Beliau mengalami tekanan mental yang teruk dan memilih untuk tunggu hasil siasatan demi membuktikan kebenaran, bukannya terus membuat penafian,” tambahnya.
Terdahulu, kontroversi ini mula tercetus pada April 2024 selepas satu hantaran mendakwa Song pernah menampar seorang pelajar junior selama satu jam setengah pada tahun 2004 dan pada ketika itu, populariti Song semakin meningkat menerusi drama ‘Marry My Husband’ dan agensinya, King Kong by Starship pantas menafikan dakwaan tersebut.
Namun begitu, reputasinya terus tercalar apabila drama terbarunya ‘Weak Hero Class of ’07’ dilancarkan di Wavve dan Watcha, tetapi babak promosi yang memaparkan dirinya dipotong.
Kini, walaupun kontrak bersama agensi lama sudah pun tamat, Song sedang bersiap sedia untuk fasa baharu dalam kerjayanya. Pihak guaman pelakon itu juga meminta agar para peminat terus menyokong dan memberikan semangat buat pelakon itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.