
Terbaru, Malaysia mengakhiri Kejohanan Empat Negara Asia 2025 dengan penuh gemilang apabila berjaya merangkul gelaran juara sulung kejohanan tersebut selepas menamatkan semua perlawanan tanpa kalah di Jakarta, Indonesia pada Ahad lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, skuad negara itu dibimbing oleh Ahmad Rizal Abdul Wahab dan dibarisi pemain-pemain muda dari Persatuan Minifootball Terengganu (PMT) itu tampil dengan disiplin tinggi seperti kapten Roslee Ariffin, Muhammad Aqil Akasah Muhammad Nazmi, Ahmad Rozaini Abu Bakar, Muhammad Danish Haiqal Nazree dan Muhammad Hisyam Ismail menjadi tonggak utama pasukan.
Selain itu, antara yang melengkapkan pasukan adalah barisan pemain berbakat seperti Muhammad Adam Uwais Mohd Armi, Muhammad Naqib Sharipuddin, Muhammad Alif Aiman Abd Ghani, Muhammad Izzan Nazran Mat Rodzi serta Muhammad Adam Jamee Mohd Armi yang tampil bertenaga sepanjang kejohanan.
Dalam pada itu, Malaysia memulakan kempen di Kompleks Sukan Goozone, Jakarta dengan kemenangan bergaya 4-2 ke atas tuan rumah Indonesia. Rentak kemenangan itu diteruskan apabila membenam Taiwan 5-0 sebelum menutup tirai dengan pesta gol 8-0 menewaskan Singapura.
Menurut pengurus pasukan, Dr Mohd Shahrul Faiz Mohd Noor memaklumkan kejayaan ini hadir tepat pada masanya menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 yang akan disambut oleh rakyat Malaysia pada 31 Ogos ini.
“Ini julung kali kejohanan dianjurkan dan kita mengungguli dengan memenangi semua perlawanan. Ia bukti kemampuan skuad muda negara menyaingi pasukan serantau serta suntikan keyakinan besar kepada pembangunan minifootball tanah air,” katanya.
Beliau menjelaskan disiplin, dedikasi serta semangat juang tinggi para pemain menjadi faktor utama di sebalik kejayaan serta merakamkan penghargaan kepada Persatuan Minifootball Malaysia (MIFOM), PMT dan semua pihak yang memberi sokongan.
Bagi jurulatih pasukan, Ahmad Rizal Abdul Wahab berkata, beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai permulaan baharu buat sukan minifootball di Malaysia selain berharap agar lebih banyak bakat anak muda tempatan dapat dicungkil untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Sementara itu, menurut kapten pasukan Roslee Ariffin, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan bersyukur apabila mengenang kemenangan berdepan Indonesia walaupun hanya dengan persiapan singkat.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.