Berita

Siti Nurhaliza Dakwa Unsur Luar Jejas Persembahan Amad Di Grand Finale TTMM -“Kami Tahu Apa Yang Berlaku”

Share

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza seolah-olah memberi bayangan wujudnya unsur luar yang mengganggu tumpuan serta kondisi anak saudaranya, Amad Dayyan, sehingga menyebabkan penyanyi muda itu berakhir di tempat keenam pada pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) malam tadi.

Lebih mengejutkan, Amad yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon juara turut berdepan detik cemas apabila rebah dan pengsan selepas persembahan. Difahamkan, dia mengalami kesukaran menyanyi dan bergelut dengan kesakitan yang masih belum dapat dikenal pasti buat masa ini.

Menurut Siti, apa yang berlaku kepada Amad adalah takdir, namun dalam masa sama, beliau menolak spekulasi negatif yang timbul terhadap anak kedua adiknya, penyanyi Siti Saerah itu.

“Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat dan fit untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari persembahan Grand Finale.

“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang berlaku, bukan faktor kesihatan, kesan dari komen-komen atau penat tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan kita. Ada hal-hal luar dugaan, hal-hal tak masuk di akal tetapi itulah hakikatnya.

“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku. Untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu,” tulisnya menerusi perkongsian video sesi latihan Amad bersama Nadeera di Instagram.

Siti turut mendedahkan bahawa adik Amad, Aisy

, juga terkena tempias insiden tersebut.

“Begitulah, setiap kita ada cabaran, ini kan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas.


“Malah malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tetapi adik Amad, Aisy juga terkena tempiasnya.
Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Amad dilaporkan tiba-tiba rebah sebelum membuat persembahan di konsert akhir TTMM. Dia kemudiannya dibawa ke belakang pentas sebelum muncul semula bagi meneruskan persembahan.

Selepas bergelut dalam persembahan solo dan duet, Amad akhirnya pengsan sekali lagi dan dibawa keluar dari pentas. Penyanyi muda itu dan ibunya, Siti Saerah, terpaksa akur apabila menjadi peserta tercorot dengan menduduki tempat keenam dalam pertandingan tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath