
Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil menyeru orang ramai supaya mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS). Langkah ini penting bagi memastikan pengguna tidak terlepas sebarang maklumat kecemasan yang disampaikan melalui sistem berkenaan.
Menerusi sebuah kenyataan MCMC berkata, EWS sedang dilaksanakan secara berperingkat menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS). Teknologi ini membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon yang serasi dalam kawasan tertentu tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi atau membuat pendaftaran khas.
“Pengguna turut disarankan memasang kemaskini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi menyokong penerimaan amaran EWS, pengguna iPhone perlu memiliki iPhone 11 atau model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 dan ke atas. “Bagi peranti Android, pengguna perlu menggunakan Android 12 atau versi terkini, manakala telefon Huawei memerlukan EMUI 16 atau versi terkini,” jelas MCMC.
Bagaimanapun, spesifikasi minimum berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir. Orang ramai juga digalakkan memastikan peranti sentiasa menggunakan perisian terkini sebelum sistem tersebut digunakan secara lebih meluas.
Dalam perkembangan sama, MCMC turut mengadakan taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media bagi menerangkan mekanisme EWS serta peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat. Sesi itu turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya.

Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama antara MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Sistem berkenaan akan melengkapi saluran amaran sedia ada bagi membantu penyampaian maklumat kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengikuti maklumat daripada saluran rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya menerima amaran kecemasan. Ujian pada skala lebih luas juga akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan sistem EWS berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










