Berita

Shuib Lega Thalita Rangkul Naib Juara TTMM -“Kalau Jadi Juara, Mesti Kena Kecam”

Share

Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib meluahkan rasa syukur apabila berjaya merangkul gelaran naib juara bersama anak perempuannya, Thalita, dalam pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM)yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya bersyukur dan gembira kami dapat tempat kedua, kalau jadi juara mesti kena kecam,” katanya ketika ditemui di sidang media selepas acara kemuncak itu.

Menurut Shuib, dia telah memendam rasa sejak seminggu lalu apabila menerima kecaman hebat daripada netizen yang menuduh wujudnya ‘favoritism’ dalam program berkenaan.

“Seminggu saya tahan. Orang cakap ada ‘favoritism’ dalam TTMM dan menyasarkan anak saya Thalita kononnya Grand Finale diwujudkan sebab dia.

“Bila manager-manager lain beritahu mereka sudah sedia maklum tentang penambahan minggu, orang tak mahu percaya juga.

“Juri-juri pun tahu ada lapan minggu.Bila kami dinobatkan sebagai naib juara, saya rasa gembira dan lega. Bayangkan kalau kami jadi juara, mesti mereka akan cakap memang sudah dirancang,” ujarnya.

Thalita ‘Down’, Terima Lebih 10,000 Komen Kecaman

Shuib turut mengakui keadaan emosi Thalita sangat terkesan akibat serangan komen negatif daripada netizen di media sosial.

“Ada lebih 10 ribu komen kecaman terhadap Thalita. Dia betul-betul ‘down’. Saya kena pantau supaya dia tak baca komen. Dia pula tengah bergelut dengan masalah kesihatan. Ada orang mesej saya dalam Instagram suruh kami tarik diri.

“Saya dan Thalita sama-sama ‘down’. Saya sampai berdoa kepada Allah supaya tak menang. Sebab kalau menang, pasti kena kecam. Letih saya nak menjawab nanti,” dedahnya.

Terdahulu, Thalita tidak dapat beraksi di pentas minggu sebelumnya selepas dijangkiti

Influenza A dan perlu menjalani kuarantin.

Situasi ini kemudian mencetuskan spekulasi bahawa pihak produksi menambah episod semata-mata untuk memberi laluan kepadanya ke pentas akhir.

“Dia Nyanyi Lagu Mak Dia, Bukan Lagu Mak Orang”

Mengulas dakwaan segelintir netizen yang menuduh mereka ‘menunggang’ kisah arwah Siti Sarah demi meraih simpati, Shuib tampil mempertahankan anaknya.

“Orang cakap sudah-sudahlah menyanyi lagu mak sebab nak meraih simpati. Dia menyanyi lagu mak dia bukan dia menyanyi lagu mak kau.

“Dia ada hak untuk menyanyi lagu mak dia. Saya rasa lagu mak dia sesuai untuk dinyanyikan dalam mana-mana episod TTMM. Jadi apa salahnya?

“Ini juga merupakan satu kenangan yang saya boleh rekodkan dalam bentuk video yang anak arwah menyanyikan lagu ibunya,” tuturnya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan

, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath