
Pelakon dan pelawak terkenal, Shuib, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan mempromosikan produk vape melalui sebuah podcast yang disiarkan kepada umum dua tahun lalu.
Majistret Ezrene Zakariah turut memerintahkan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kes Shuib didenda promosi vape ini menjadi antara kes berprofil tinggi melibatkan selebriti sejak Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan.
Mengikut pertuduhan, Shuib selaku penerbit Dol’s Podcast didakwa mengambil bahagian dalam promosi produk vape jenama Soundvape menerusi satu siaran audio siar yang dimuat naik ke platform YouTube.
Kandungan tersebut disifatkan sebagai menggalakkan orang awam merokok atau mempromosikan produk pengganti tembakau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 4.26 petang, 22 Oktober 2024 dan dikesan oleh Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil pemantauan terhadap kandungan digital yang disiarkan kepada orang ramai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(3)(a)(i), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Akta ini diperkenalkan bagi mengekang penularan promosi produk merokok dan vape yang dilihat semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Semasa prosiding, peguam bela Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri memaklumkan bahawa perjanjian promosi berkenaan telah dimeterai sebelum akta tersebut dikuatkuasakan sepenuhnya pada 10 April 2025.
Menurut beliau, Shuib juga telah bertindak segera menurunkan kandungan podcast tersebut sebaik menyedari wujud pelanggaran undang-undang, sekali gus menunjukkan kerjasama dan usaha mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Video berkenaan tidak memberi kesan besar kepada masyarakat kerana telah diturunkan dalam tempoh yang singkat. Ini membuktikan OKS bertindak secara bertanggungjawab dan wajar dikenakan hukuman minimum,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa KKM, Kua Ah Kiong menegaskan tindakan Shuib tetap merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan promosi produk yang memudaratkan kesihatan awam.
Beliau turut menekankan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah serta pengaruh besar selebriti terhadap peminat, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan kandungan di media sosial.
“Sebagai figura awam, promosi oleh OKS berpotensi mendorong kanak-kanak dan remaja mencuba produk tersebut tanpa menyedari kesan jangka panjang terhadap kesihatan,” katanya.
Dalam prosiding sama, Pengarah Syarikat Bangsawan Distribution, Mohd Redzuan Hamizan Rahim, 34, turut didenda RM10,000 atau penjara setahun selepas mengaku bersalah menaja siaran podcast berkenaan bagi tujuan promosi vape.
Mohd Redzuan didakwa menaja kandungan audio siar yang disiarkan kepada umum melalui YouTube pada tarikh sama dan pertuduhan dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang serupa.
Kes Shuib didenda promosi vape ini dilihat sebagai isyarat jelas kepada selebriti, pempengaruh serta pencipta kandungan digital agar lebih berhati-hati dalam menerima tawaran promosi, khususnya melibatkan produk yang memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.
Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan kenyataan daripada Shuib gagal apabila beliau dipercayai menggunakan laluan lain dan tidak melalui kawasan lobi mahkamah selepas prosiding berakhir.
Sumber : Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.