
Nama Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sekadar terpahat dalam buku sejarah, malah menjadi inspirasi hidup yang nyata.
Hari ini, tokoh politik terulung negara itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, sekaligus mencipta rekod sebagai ‘Bekas Perdana Menteri kedua Tertua Di Dunia Yang Masih Hidup’. Tun Dr. Mahathir berada di belakang bekas Perdana Menteri Jepun, Tomiichi Murayama (1994-1996) yang kini berusia 101 tahun & 129 hari.
Lahir pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, perjalanan hidup Dr. Mahathir adalah kisah luar biasa tentang ketekunan, disiplin dan kesetiaan kepada negara.
Dr. Mahathir mula mencorak sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 16 Julai 1981. Beliau mentadbir negara selama 22 tahun, menjadikan beliau Perdana Menteri paling lama memegang tampuk kepimpinan Malaysia.
Namun, sejarah tidak berhenti di situ. Pada usia 93 tahun, beliau kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri ke-7 pada tahun 2018, selepas memimpin pakatan politik yang mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Peristiwa ini menjadikan beliau Perdana Menteri paling tua pernah dilantik dalam sejarah dunia moden.
Walaupun kini tidak lagi memegang jawatan rasmi, Dr. Mahathir masih aktif memberikan pandangan baik melalui tulisan, ucapan mahupun dalam forum-forum intelektual. Beliau kekal sebagai suara yang berani dan tidak gentar bersuara mengenai isu-isu nasional dan antarabangsa.
Apa yang menjadikan beliau lebih dikagumi ialah kesihatannya yang luar biasa. Pada usia 100 tahun, beliau masih kelihatan bertenaga, berjalan dengan tegap dan tidak pernah leka menjaga kesihatan diri.
Remaja sering tertanya-tanya, apakah rahsia di sebalik umur panjang dan kesihatan cemerlang Dr. Mahathir?
Dalam banyak temu bual, beliau tidak lokek berkongsi:
“Jangan terlebih makan. Jangan makan terlalu banyak. Kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.”
Falsafah ringkas itu menjadi pegangan hidupnya. Selain menjaga pemakanan, beliau juga aktif secara fizikal, tidak berhenti membaca dan terus menulis secara konsisten. Disiplin terhadap masa, kerja dan ilmu adalah tunjang kepada ketahanan mental dan fizikal beliau.
Sebelum menyertai politik, Dr. Mahathir merupakan seorang doktor perubatan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah sebelum menyambung pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada tahun 1947. Beliau tamat pengajian pada tahun 1953 dan berkhidmat di Hospital Besar Alor Setar.
Kerjaya sebagai doktor mungkin berakhir, tetapi semangat untuk ‘merawat’ negara tidak pernah pudar.
Seratus tahun hidup. Dua kali menjadi Perdana Menteri. Masih aktif menulis, membaca dan bersuara. Siapa sangka seorang lelaki dari kampung kecil di Alor Setar mampu mencipta legasi sebesar ini?
Remaja hari ini perlu melihat Tun Dr. Mahathir bukan sekadar sebagai tokoh sejarah, tetapi sebagai inspirasi — bahawa dengan ilmu, disiplin dan tekad, kita semua mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
“Seratus tahun bukan hanya angka. Ia adalah bukti bahawa kesetiaan kepada prinsip dan perjuangan akan terus dikenang sepanjang zaman.”
Selamat Hari Jadi ke-100, Tun. Terima kasih di atas segala jasa terhadap masyarakat dan negara.