Nama Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sekadar terpahat dalam buku sejarah, malah menjadi inspirasi hidup yang nyata.
Hari ini, tokoh politik terulung negara itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, sekaligus mencipta rekod sebagai ‘Bekas Perdana Menteri kedua Tertua Di Dunia Yang Masih Hidup’. Tun Dr. Mahathir berada di belakang bekas Perdana Menteri Jepun, Tomiichi Murayama (1994-1996) yang kini berusia 101 tahun & 129 hari.
Lahir pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, perjalanan hidup Dr. Mahathir adalah kisah luar biasa tentang ketekunan, disiplin dan kesetiaan kepada negara.
Pemimpin Sepanjang Zaman
Dr. Mahathir mula mencorak sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 16 Julai 1981. Beliau mentadbir negara selama 22 tahun, menjadikan beliau Perdana Menteri paling lama memegang tampuk kepimpinan Malaysia.

Namun, sejarah tidak berhenti di situ. Pada usia 93 tahun, beliau kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri ke-7 pada tahun 2018, selepas memimpin pakatan politik yang mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Peristiwa ini menjadikan beliau Perdana Menteri paling tua pernah dilantik dalam sejarah dunia moden.
Masih Aktif, Masih Lantang
Walaupun kini tidak lagi memegang jawatan rasmi, Dr. Mahathir masih aktif memberikan pandangan baik melalui tulisan, ucapan mahupun dalam forum-forum intelektual. Beliau kekal sebagai suara yang berani dan tidak gentar bersuara mengenai isu-isu nasional dan antarabangsa.

Apa yang menjadikan beliau lebih dikagumi ialah kesihatannya yang luar biasa. Pada usia 100 tahun, beliau masih kelihatan bertenaga, berjalan dengan tegap dan tidak pernah leka menjaga kesihatan diri.
Rahsia Umur Panjang: Disiplin & Sederhana
Remaja sering tertanya-tanya, apakah rahsia di sebalik umur panjang dan kesihatan cemerlang Dr. Mahathir?
Dalam banyak temu bual, beliau tidak lokek berkongsi:
“Jangan terlebih makan. Jangan makan terlalu banyak. Kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.”
Falsafah ringkas itu menjadi pegangan hidupnya. Selain menjaga pemakanan, beliau juga aktif secara fizikal, tidak berhenti membaca dan terus menulis secara konsisten. Disiplin terhadap masa, kerja dan ilmu adalah tunjang kepada ketahanan mental dan fizikal beliau.

Daripada Doktor Kepada Pemimpin Dunia
Sebelum menyertai politik, Dr. Mahathir merupakan seorang doktor perubatan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah sebelum menyambung pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada tahun 1947. Beliau tamat pengajian pada tahun 1953 dan berkhidmat di Hospital Besar Alor Setar.
Anda mungkin berminat dengan
Kerjaya sebagai doktor mungkin berakhir, tetapi semangat untuk ‘merawat’ negara tidak pernah pudar.
Inspirasi Buat Generasi Muda
Seratus tahun hidup. Dua kali menjadi Perdana Menteri. Masih aktif menulis, membaca dan bersuara. Siapa sangka seorang lelaki dari kampung kecil di Alor Setar mampu mencipta legasi sebesar ini?

Remaja hari ini perlu melihat Tun Dr. Mahathir bukan sekadar sebagai tokoh sejarah, tetapi sebagai inspirasi — bahawa dengan ilmu, disiplin dan tekad, kita semua mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
“Seratus tahun bukan hanya angka. Ia adalah bukti bahawa kesetiaan kepada prinsip dan perjuangan akan terus dikenang sepanjang zaman.”
Selamat Hari Jadi ke-100, Tun. Terima kasih di atas segala jasa terhadap masyarakat dan negara.
∞
Selepas perbincangan diadakan di antara Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kedutaan Palestin di Malaysia, kerajaan bersetuju untuk menganugerahkan biasiswa kepada lima orang rakyat Palestin untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan rangkaian.
Menteri Komunikasi Datuk Faahmi Fadzil berkata, biasiswa tersebut bertujuan untuk membantu rakyat Palestin membina semula rangkaian komunikasi di sana yang malangnya telah dimusnahkan oleh rejim zionis Israel terutamanya; khususnya di wilayah Gaza.
“Apa yang telah berlaku di Gaza adalah penghancuran sistematik melibatkan prasarana dan infrastruktur. (Kerajaan) bersetuju menyediakan biasiswa untuk lima rakyat Palestin untuk datang atau (bagi yang) telah berada di Malaysia untuk biasiswa kejuruteraan radio atau rangkaian,” ulasnya.

Selain penganugerahan biasiswa tersebut, kerajaan juga kini bersiap sedia untuk menyediakan sebuah modul e-pembelajaran mirip Pengajaran dan Pembelajaraan di Rumah (PdPR) untuk anak-anak Palestin di Gaza atau Tebing Barat.
Dengan pengalaman Malaysia membina modul PdPR sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu, MCMC dilihat mampu bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pihak kedutaan Palestin untuk merangka program pendidikan khas buat mereka sebagai salah satu usaha diplomasi Malaysia.
Fahmi ditemui di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena Bukit Jalil malam ini yang meraikan 23 orang aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang selamat tiba di tanah air pada lewat malam Selasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, persatuan mahasiswa Universiti Kebangsaan Chungnam (CNU), Korea Selatan telah meraih perhatian apabila meminta maklumat peribadi dan meminta tanda tangan akur janji daripada peminat kumpulan terkenal, AESPA untuk festival universiti yang akan diadakan pada hujung Oktober ini.
Difahamkan, pada 21 Oktober lalu, persatuan mahasiswa CNU telah memuat naik pengumuman menerusi akaun rasmi mengenai festival CNU 2024 “ACCESSIO: Soaring” dan memaklumkan bahawa jadual penampilan AESPA adalah pada hari ketiga iaitu 30 Oktober.
Dalam pada itu, wakil persatuan mahasiswa universiti tersebut juga turut memberitahu jika mana-mana pihak ingin mengambil gambar atau merakam video persembahan AESPA, mereka perlu membuat permohonan sah dan izin, perjanjian yang ditandatangani, dan perjanjian pengumpulan dan penggunaan maklumat peribadi pemohon.

Dilaporkan, permohonan tersebut dibuka bermula 21 sehingga 23 Oktober, namun pihak persatuan mahasiswa CNU menyatakan mereka akan menapis permohonan dan hanya individu tertentu sahaja yang bakal dipilih seterusnya keputusan akan dimaklumkan pada 24 Oktober.
Susulan itu, hal tersebut telah mendapat kritikan ramai pihak terutama peminat AESPA kerana ada yang berpendapat persatuan mahasiswa bukanlah entiti sah berdaftar seperti bank atau organisasi kerajaan yang berhak mengumpul data dan maklumat peribadi.

Selain itu, ada juga yang mempersoalkan kesahihan dan kelayakan persatuan mahasiswa universiti berkenaan dalam mengumpul maklumat peribadi tanpa borang kebenaran tambahan.
Walau bagaimanapun, pihak persatuan mahasiswa CNU berkeras bahawa sebarang peranti rakaman yang tidak diluluskan adalah dilarang sama sekali kecuali telefon bimbit.
Tambahan, mereka juga mengharamkan penggunaan tripod, makanan, tempat letak kaki dan ‘selfie stick’, dan memberi amaran jika mana-mana individu gagal mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan mereka dikeluarkan daripada acara itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
“Luruskan niat, kami sentiasa mendoakan awak.” Itulah kata-kata penuh makna yang dititipkan oleh pelakon dan usahawan, Nadzmi Adhwa buat isterinya, Ardell Aryana yang kini terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 ke Gaza.
Menerusi satu hantaran video di media sosial, Nadzmi, 34, meluahkan rasa penuh emosi sambil berkongsi doa dan harapan agar segala urusan isterinya dipermudahkan sepanjang menyertai Global Sumud Flotilla 2.0.
Dalam perkongsian tersebut, Nadzmi tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu dan kasih terhadap isterinya yang bakal berada jauh demi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0.
“Aya dan anak-anak dan keluarga kita semua tunggu awak balik ya… Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Gaza. Luruskan niat awak. Kami sentiasa mendoakan awak,” tulisnya.
Kata-kata ini jelas menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi seorang suami terhadap perjuangan isterinya, walaupun berdepan risiko dan cabaran yang besar.
Selain itu, Nadzmi turut menzahirkan harapan agar segala usaha Ardell dalam membantu umat Islam di Gaza mendapat keberkatan dan reda daripada Allah.
“Semoga Allah redha dengan usaha awak membantu ummah dan permudahkan awak serta semua yang terlibat,” tambahnya lagi.
Sokongan ini menjadi sumber kekuatan buat Ardell dalam meneruskan perjalanan bersama Global Sumud Flotilla 2.0, yang bukan sahaja menuntut keberanian tetapi juga keikhlasan yang tinggi.
Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ke Gaza

Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan satu misi kemanusiaan antarabangsa yang melibatkan pelbagai aktivis dari seluruh dunia bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk di Semenanjung Gaza.
Misi ini dijadualkan bermula pada 12 April dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol, dan dijangka menarik perhatian global terhadap isu kemanusiaan yang berterusan di Gaza.
Setakat ini, empat kumpulan delegasi Malaysia telah pun berlepas bagi menjayakan Global Sumud Flotilla 2.0, menunjukkan komitmen rakyat Malaysia dalam usaha membantu saudara seagama.
Penyertaan Ardell Aryana dalam Global Sumud Flotilla 2.0 turut mendapat perhatian ramai. Rata-rata netizen meluahkan rasa bangga serta menitipkan doa agar semua sukarelawan dilindungi sepanjang misi berlangsung.
Ada yang menyifatkan Ardell sebagai inspirasi, malah tidak kurang juga yang tersentuh dengan kata-kata penuh kasih sayang daripada Nadzmi.
Situasi ini memperlihatkan betapa pentingnya sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat dalam menjayakan misi kemanusiaan yang mencabar seperti ini.
Ardell Aryana membawa harapan ramai dalam membantu rakyat Gaza, manakala Nadzmi Adhwa terus menjadi tulang belakang yang setia mendoakan dari jauh.
Semoga segala urusan Ardell Aryana dan semua sukarelawan dalam Global Sumud Flotilla 2.0 dipermudahkan serta dilindungi sepanjang perjalanan mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞