Hiburan

Selepas Umum Bakal Berkahwin, Yoo Jae Suk Dedah Perubahan Sikap Kim Jong Kook

Share

Terbaru, pengacara terkenal Korea Selatan, Yoo Jae Suk mencuri perhatian ramai terutamanya peminat rancangan ‘Running Man’ apabila mendedahkan  bahawa sahabat baiknya, Kim Jong Kook kini kelihatan jauh lebih lembut selepas membuat keputusan untuk berkahwin.

Menerusi siaran terbaru rancangan ‘Whenever Possible’ pada 19 Ogos lalu, episod tersebut turut menampilkan Cha Tae Hyun dan Jang Hyuk sebagai tetamu jemputan di mana mereka dikenali sebagai sebahagian daripada geng rakan sebaya yang lahir pada tahun 1976 bersama Kim Jong Kook.

Dalam pada itu, sepanjang perjalanan menaiki kereta, mereka sempat mengimbau kembali zaman persekolahan ketika melalui kawasan Namsan. Pelakon, Cha Tae Hyun memberitahu bahawa masa yang paling menyeronokkan bagi dirinya adalah ketika menuntut pengajian di Seoul Institute of the Arts.

Hal tersebut dipersetujui oleh pelakon Jang Hyuk yang mengatakan bahawa zaman sekolah adalah zaman yang paling menyeronokkan dan apabila kembali semula ke Busan tempat asalnya, beliau merasa tenang.

Pada masa yang sama, Jang Hyuk sempat bercerita tentang pengalaman awalnya berada di Seoul.

“Masa saya datang ke Seoul pada tahun 1997, lagu pertama yang saya dengar di Myeongdong ialah lagu Jong Kook,” katanya.

Ia dipersetujui oleh Tae Hyun yang menyatakan bahawa lagu nyanyian rakan mereka itu adalah yang antara lagu terbaik pada masa berkenaan sambil mengalunkan lagu Kim Jong Kook sehingga membuatkan Yoo Jae Suk cuba menirunya dengan nada tinggi hingga mengundang gelak ketawa.

Dalam suasana mesra menerusi episod itu, Tae Hyun tidak ketinggalan memuji ketahanan kerjaya seni Jong Kook dalam industri hiburan Korea dan menyatakan bahawa rakannya itu masih relevan sehingga kini.

Sementara itu, apa yang menarik perhatian adalah komen Jae Suk mengenai perubahan personaliti sahabatnya itu.

“Sekarang ini Jong Kook dah macam ‘Ho Ho Ho’ ahjussi (seperti orang tua). Dulu dia sangat tegas,” katanya sambil menjelaskan bagaimana Kim Jong Kook kini lebih mudah ketawa dan tidak lagi sekeras dahulu.

Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Kim Jong Kook mengumumkan perkahwinannya secara rasmi kepada para peminat menerusi surat tulisan tangan di fan cafe rasminya. Penyanyi dan personaliti televisyen popular itu bakal melangsungkan majlis perkahwinan secara tertutup bersama seorang wanita bukan selebriti pada 5 September akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE