
Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga bekas pelakon, Datin Seri Zizie Ezette, berkongsi rasa sebaknya ketika mengenang segala kebaikan dan pengorbanan suami tercinta. Bagi Zizie, Allahyarham adalah seorang insan berhati mulia yang sentiasa mendahulukan orang lain sebelum dirinya.
Menerusi hantaran di Insta Story pada Ahad, Zizie menyifatkan arwah suaminya sebagai seorang yang bekerja keras untuk keluarga serta masyarakat sepanjang 16 tahun mereka hidup bersama.
Zizie turut mengimbau pesanan arwah yang sering mengingatkan supaya melakukan kebaikan secara ikhlas tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan.
“Saya tidak akan melupakan nasihat awak: ‘jika tangan kanan memberi kepada seseorang, tangan kiri tidak patut tahu. Simpan, sembunyikan. Biarlah kebaikan itu hanya ALLAH yang tahu.’
“Begitu juga awak (arwah Bung Moktar) tidak pernah mahukan pengiktirafan… awak melakukan segala-galanya dari hati awak,” tambahnya.
Dalam perkongsian itu juga, Zizie mengucapkan syukur dan penghargaan atas segala jasa arwah sepanjang mereka hidup bersama. Semua nilai murni itu, katanya, akan terus dibawa dan diwariskan kepada anak-anak mereka.
“Terima kasih atas segalanya yang pernah dicurahkan kepadaku. Saya akan terus bawa, menghargainya, dan turunkan kepada anak-anak kita, jadi sebahagian daripada awak terus hidup bersama kami.
“Semoga ALLAH mengampunkanmu, melimpahkan rahmat-Nya ke atasmu dan mengurniakanmu syurga,” ujarnya.
Allahyarham Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, dilaporkan pergi akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada pukul 2.10 petang pada hari sama.
Untuk rekod, Zizie dan arwah mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.