
Setelah ditayangkan selama lapan minggu, tirai drama bersiri Thariq Ridzuwan: His Treasure (TRHT) akhirnya dilabuhkan dengan rahsia yang terbongkar satu per satu.
Lebih daripada sekadar kisah cinta atau dendam, minggu terakhir TRHT menyingkap keindahan sebenar rasa redha yang ada dalam diri. Ia adalah penutup yang mengajarkan bahawa kebahagiaan tidak selalu hadir dengan kemegahan, sebaliknya lahir daripada hati yang ikhlas dan penuh pengertian.
Pada minggu ini, Thariq (Meerqeen) masih dihantui kerinduan terhadap Radwa (Qasrina Karim). Pada masa yang sama, dirinya tetap mencuba untuk menjadi bapa terbaik untuk Thea. Kasih sayangnya pada si kecil itu jelas terpancar, seolah-olah Thea adalah satu-satunya kekuatan yang masih tinggal buatnya terus bertahan.
Semuanya nampak tenang apabila Thariq dan Thea hadir ke majlis persaraan Dato’ Tizz di Hotel Grand Tizz. Thariq juga diumumkan sebagai pemilik baru hotel tersebut. Namun suasana bertukar huru-hara ketika majlis makan malam selepas bunyi tembakan tiba-tiba bergema.
Misi menyelamat Thea membawa Holy Dragons ke sebuah bangunan terbiar di mana mereka berdepan dengan pertempuran sengit. Saat Thariq mencari Thea, dia tergamam bila pistol diacukan ke arah kepalanya dan yang memegangnya adalah isteri yang disangkakan sudah mati, Radwa!
Rahsia besar akhirnya terbongkar, Radwa sebenarnya masih hidup cuma memorinya telah dimanipulasi oleh Farez. Semua plot culik dan tipu daya ini dirancang rapi olehnya. Namun akhirnya, Farez tewas di tangan Thariq. Episod ini berakhir dengan penyatuan semula keluarga kecil itu; Thariq, Radwa, dan Thea.
Episod terakhir TRHT menyaksikan Thariq dan Holy Dragons berjuang mengembalikan ingatan Radwa.
Mereka membawanya ke tempat-tempat yang menyimpan jejak kenangan. Perlahan-lahan, memori Radwa mula terbuka kembali.
Namun di sebalik cahaya, kegelapan hidup masih mengekori. Raudhah dikejar ‘Ah Long’ kerana berhutang sebanyak RM10,000 iaitu hutang sama yang selama ini dipikul oleh Radwa tanpa pengetahuan sesiapa.
Raudhah dan Rozita merancang untuk meminta belas ihsan daripada Thariq tanpa menyedari bahawa Radwa sudah kembali.
Terkejut ketika menemui semula Radwa, Rozita menuduh Radwa berbohong mengenai kematiannya dan menuntut pampasan di atas luka yang ditanggung.
Pada ketika itu, Thariq membawa Radwa menemui Husaini dan menyesal kerana gagal menjaga anaknya itu. Radwa redha untuk memaafkannya dengan harapan ia akan mengubah ayahnya itu.
Tidak lama selepas pertemuan itu, Husaini memaklumkan Rozita sedang parah di hospital setelah setelah ditikam dan dilanggar ‘ah-long’ ketika cuba melarikan diri. Manakala, Raudhah pula meninggal dunia dalam pergelutan yang sama.
Radwa sempat memohon maaf dan Rozita menghembuskan nafas terakhir setelah memaafkannya. Akhirnya, Radwa bebas daripada belenggu silam, Thariq kekal menjadi pelindung dan Thea setia di sisinya. Walau ada luka yang tertinggal, mereka melangkah ke hadapan dengan harapan yang baharu.
Di hujung kisah TRHT, kita belajar mengenai makna cinta, kejujuran dan keredhaan. Walau apa pun pengakhiran yang menanti, ia tetap menjadi cermin kepada perjuangan jiwa dan kekuatan hati insan yang mencari erti kebahagiaan sejati.
Jom usha semua episod Thariq Ridzuwan: His Treasure di Astro On Demand dan sooka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.