
Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak menjalani ibadah puasa. Bagi pasangan selebriti terkenal Scha Alyahya dan Awal Ashaari, pendekatan yang digunakan lebih santai tetapi tetap memberi motivasi kepada anak mereka.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya, mereka pernah menjanjikan ganjaran RM20 sehari kepada Lara sebagai motivasi untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan.
Bagi Scha, ganjaran kecil seperti itu bukanlah tujuan utama, sebaliknya sekadar galakan untuk membantu anak memahami cabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.
“Biasalah, apabila anak-anak buat sesuatu yang agak sukar, kita bagi ganjaran sebagai galakan,” katanya.
Scha turut mendedahkan bahawa Lara Alana berpuasa penuh bermula sejak anaknya berusia lapan tahun. Pada usia tersebut, Lara mula memahami konsep puasa dan mampu menahan diri sepanjang hari.
Kini, anak sulung pasangan itu sudah memasuki tahun ketiga berjaya menjalani puasa penuh sepanjang Ramadan.
Bagi Scha dan Awal, perkara itu sesuatu yang membanggakan kerana mereka tidak pernah memaksa Lara untuk berpuasa sebelum dia benar-benar bersedia.
Apa yang menarik perhatian Scha adalah keterujaan Lara setiap kali tibanya bulan Ramadan. Walaupun sukar menjelaskan sebab sebenar, Lara sendiri mengakui dia memang suka berpuasa.
“Setiap kali berpuasa dia sangat teruja. Bila saya tanya kenapa dia suka puasa, dia sendiri pun tak tahu. Cuma memang dia suka,” jelas Scha.
Menurut Scha, keterujaan itu membuatkan Lara menjadi lebih mudah kerana anaknya sendiri yang mahu mencuba tanpa dipaksa.
Malah Scha turut berkongsi situasi lucu apabila Lara berjaya berpuasa penuh. Walaupun pernah dijanjikan RM20 sehari, anak kecil itu akhirnya tidak lagi mengingati ganjaran tersebut.
Menurut Scha, mereka pernah menggantikan ganjaran itu dengan membawa Lara bercuti kerana kebetulan waktu tersebut hampir dengan sambutan hari lahir anaknya.
Scha juga berkongsi telatah anaknya sepanjang Ramadan yang sering membuat permintaan makanan ketika berbuka puasa.
Menurutnya, Lara memang sangat menggemari pencuci mulut. Hampir setiap hari ada sahaja permintaan seperti sagu gula Melaka, agar-agar, atau pulut mangga.
Namun Scha mengakui dia tidak begitu mahir menyediakan pencuci mulut. Jadi apabila Lara melihat ibunya hanya menyediakan hidangan utama seperti nasi dan lauk, kadangkala anaknya akan menunjukkan reaksi sedikit kecewa.
Dalam situasi itu, Awal selalunya akan cuba memenuhi permintaan anak mereka.
“Kalau dia nampak saya masak nasi sahaja, dia akan buat muka sikit sebab dia memang suka benda-benda manis. Jadi Awal yang biasanya akan cuba sediakan pencuci mulut yang dia minta,” kata Scha.
Bagi Scha, perkara kecil seperti menyediakan makanan kegemaran juga boleh menjadi cara untuk menyokong semangat anak yang sedang belajar berpuasa.
Dalam pada itu, Scha turut berkongsi mengenai anak keduanya, Lyla Amina yang kini berusia lima tahun.
Menurut Scha, mereka masih belum melatih Lyla untuk berpuasa kerana usianya yang masih kecil.
Malah Lyla sendiri pernah memberitahu ibunya bahawa puasa bukan untuk dirinya buat masa ini.
“Awal-awal lagi Lyla beritahu saya puasa bukan untuk dia sebab dia masih bayi. Saya pun terkejut bila dia cakap begitu,” katanya sambil ketawa.
Bagi Scha, perkara paling penting adalah memperkenalkan konsep Ramadan secara perlahan supaya anak-anak membesar dengan rasa gembira terhadap ibadah puasa dan memahami nilai kesabaran sejak kecil.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.