Scha Alyahya, Awal Ashaari & Sheera Jadi Hos AIM 25, Siti Nurhaliza Hingga Fajar Noor Bakal Gegarkan Pentas Sarawak!

Share

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 bakal berlangsung dengan penuh meriah apabila pelbagai genre muzik serta barisan nama popular industri hiburan tempatan bakal menghiasi pentas berprestij tersebut.

Bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching, Sarawak pada 26 September ini, edisi Jubli Perak AIM turut mencipta sejarah apabila acara tersebut dibawa ke Sarawak buat kali pertama.

Raikan 25 Tahun Perjalanan Muzik Malaysia

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 25 yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, persembahan pada malam kemuncak kali ini bakal mengetengahkan kepelbagaian genre muzik yang menjadi sebahagian daripada perjalanan industri muzik Malaysia sepanjang 25 tahun penganjuran AIM.

“AIM 25 akan menampilkan pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, balada dan lain-lain.

“Kami juga teruja untuk membawa AIM ke Sarawak buat kali pertama, selain meraikan kepelbagaian bakat dan muzik Malaysia menerusi barisan finalis tahun ini,” katanya pada sidang media kedua AIM 25 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Lebih menarik, pentas AIM 25 bakal menyaksikan persembahan daripada deretan penyanyi popular termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi, Anggrek, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Hael Husaini dan penyanyi dari Indonesia, Fajar Noor.

Calon Artis Baharu Turut Jadi Tarikan

Bukan sekadar nama-nama besar, persembahan calon bagi kategori Artis Baharu Terbaik turut menjadi antara tarikan yang dinanti-nantikan pada malam tersebut.

Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim bakal mempersembahkan bakat masing-masing sekali gus memberikan warna berbeza kepada kemeriahan pentas AIM 25.

Dalam masa sama, barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada nama popular seperti Noraniza Idris, Amir Jahari, Aina Abdul, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye dan Lah Ahmad turut bakal memeriahkan acara.

Awal, Scha & Sheera Kendalikan Malam Berprestij

Tidak lengkap malam anugerah tanpa hos yang mampu menghidupkan suasana.

Untuk AIM 25, pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bakal bergandingan sebagai hos bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.

Gandingan tersebut dijangka memberikan sentuhan tersendiri kepada malam kemuncak, lebih-lebih lagi apabila AIM 25 bukan sahaja meraikan pencapaian penggiat muzik, tetapi turut membawa sambutan 25 tahun perjalanan anugerah berkenaan ke bumi Sarawak.

AIM 25 Tetap Diteruskan Di Sarawak

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran AIM 25 tetap diteruskan biarpun Sarawak ketika ini berdepan keadaan jerebu.

Rosmin bagaimanapun berharap keadaan kualiti udara di Sarawak akan bertambah baik menjelang malam kemuncak anugerah berkenaan.

“Berkenaan jerebu, kami berdoa agar keadaan itu akan bertambah baik ketika AIM 25 berlangsung.

“Selebihnya, kita lihat bagaimana keadaannya nanti,” katanya.

Untuk penonton di seluruh negara, AIM 25 bakal disiarkan secara langsung menerusi TVS di Saluran 122 dan TVS Inspire.

Dengan deretan persembahan daripada pelbagai genre, kemunculan barisan finalis, penyampai anugerah serta gandingan hos yang dinanti-nantikan, AIM 25 pastinya menjadi antara malam yang bakal meraikan warna-warni muzik Malaysia dalam skala yang lebih istimewa sempena edisi Jubli Perak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath