
Pelakon popular Yusuf Bahrin mendedahkan dirinya langsung tidak mampu melelapkan mata selepas mengetahui isterinya, penyanyi terkenal Zizi Kirana, kini ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza.
Menurut Yusuf, dia sempat berhubung dengan Zizi buat kali terakhir pada jam 1.40 pagi, sebelum komunikasi antara mereka terputus sepenuhnya.
“Saya tak tidur malam tadi. Last contact kami 1.40 pagi. Selepas itu, saya cuba mesej dan call dia, tapi dah tak dapat. Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Saya cuba kuatkan semangat dan doa banyak-banyak,” luah Yusuf dengan nada sebak.
Difahamkan, kapal yang dinaiki Zizi iaitu Huga telah dipintas tentera Israel. Dua lagi kapal, Sirius dan Alma, yang turut membawa tujuh orang delegasi Malaysia, juga mengalami nasib sama.
Yusuf turut berkongsi bahawa kapal yang dinaiki selebriti Heliza Helmi berada di belakang kapal Zizi, sebab itu Heliza masih sempat membuat siaran langsung ketika situasi cemas tersebut.
Apa yang lebih meruntun jiwa, Yusuf sebak apabila mendapat tahu bahawa penduduk Gaza termasuk kanak-kanak kecil sudah menunggu di tepi pantai untuk menyambut kehadiran flotila.
“Satu dunia pandang GSF sebab tak semua ada media sosial. Bila misi ini tular, mereka tahu ada orang peduli,” kata Yusuf.
Misi GSF ini membawa mesej jelas bahawa ia hanyalah usaha membawa bantuan kemanusiaan, bukannya untuk mencetuskan konflik.
Dalam pada itu, Yusuf menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menunaikan solat hajat dan terus berdoa untuk keselamatan semua delegasi yang menyertai misi GSF.
“Doakan Zizi dan semua yang berada di kapal selamat. Mereka pergi atas dasar kemanusiaan, semoga Allah pelihara mereka,” tambah Yusuf.