
Perjalanan pasangan mentor dan peserta, Datuk Fazley Yaakob bersama anaknya, Fariedz Fazley dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2) berakhir pada minggu keempat selepas mereka diumumkan tersingkir daripada pertandingan itu.
Meskipun sedih dengan keputusan tersebut, Fariedz dilihat menerima penyingkiran itu dengan hati terbuka dan menganggap ia sebagai satu keputusan yang adil berdasarkan kekuatan peserta lain.
Menurut Fariedz, dia sendiri menyedari kelebihan yang dimiliki peserta lain sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya faham kenapa saya keluar. Peserta lain seperti Viviana mempunyai vokal yang sangat bertenaga manakala Kim pula mempunyai riff yang sangat bagus. Mereka semua ada kelebihan masing-masing.
“Malah saya pernah beritahu Dida (panggilan untuk Fazley), saya lega saya yang keluar. Jika peserta lain yang keluar, saya akan rasa ralat kerana mereka lebih layak untuk kekal,” katanya.
Kenyataan itu turut memperlihatkan sikap matang Fariedz yang lebih selesa melihat peserta lain meneruskan perjuangan mereka dalam program berkenaan.
Sementara itu, Fazley yang bertindak sebagai pengurus dalam program tersebut mengakui dia sudah mempersiapkan mental anaknya sejak minggu pertama lagi untuk berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk penyingkiran.
“Sebenarnya saya sudah siapkan Fariedz sejak minggu pertama lagi. Saya katakan kepadanya, setiap minggu ada kemungkinan untuk terkeluar. Apa yang penting, buat sehabis baik supaya persembahan terakhir itu akan diingati sampai bila-bila masa.
“Sebagai pengurus dan bapa, saya melihat dia tidak melakukan sebarang silap. Dia menyanyi dan menari dengan sempurna seperti yang diminta, namun lapan peserta lain juga sangat hebat,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fazley turut mengakui ketiadaannya ketika sesi latihan bersama Fariedz mungkin memberi kesan terhadap markah mereka pada minggu tersebut.
Namun jelasnya, perkara itu berlaku disebabkan masalah penerbangan dan bukan disengajakan. Walau bagaimanapun, Fazley percaya setiap yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.
Pada minggu keempat itu, Fariedz dan Fazley membawakan lagu Baby nyanyian asal Justin Bieber.
Persembahan tersebut meletakkan mereka di kelompok tiga terbawah bersama pasangan Safura X Kim serta Ani Mayuni X Viviana.
Bagaimanapun, Fariedz dan Fazley terpaksa akur apabila diumumkan tersingkir selepas memperoleh markah terendah daripada barisan juri.
Di sebalik penyingkiran itu, Fazley turut berkongsi berita menggembirakan apabila Fariedz sebenarnya sudah menerima tawaran sebagai artis rakaman sejak minggu pertama program tersebut berlangsung.
Perkara itu sekali gus membuktikan penyertaan Fariedz dalam TTMM2 membuka ruang dan peluang baharu buat dirinya untuk terus berkembang dalam industri muzik tempatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.