
Penyanyi dan pengacara terkenal, Sandara 2NE1 baru-baru ini mencuri perhatian peminat apabila tampil bersuara berhubung tuduhan penggunaan dadah yang secara tiba-tiba mengaitkan nama beliau.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Sandara atau nama sebenar beliau Sandara Park (42) akhirnya memberikan respon ringkas selepas namanya disebut dalam satu hantaran kontroversi yang dimuat naik oleh rakan kumpulannya sendiri, Park Bom.
Terdahulu pada 3 Mac lalu, Park Bom memuat naik satu hantaran di akaun Instagram peribadinya yang kembali menyentuh kontroversi lama berkaitan isu ubat-ubatan yang pernah melibatkannya.
Dalam hantaran tersebut, Park Bom menulis, “Sandara Park ditangkap kerana dadah. Dan untuk menutupi hal itu, dia menjadikan aku sebagai pengguna dadah,” kenyataan berkenaan segera mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan peminat K-Pop.
Walaupun hantaran berkenaan telah dipadam tidak lama kemudian, tangkap layar perkongsian tersebut sempat tular dengan pantas di pelbagai komuniti di media sosial sehingga menimbulkan spekulasi terhadap Sandara.
Susulan kontroversi itu, Sandara akhirnya memecahkan kesunyian menerusi satu mesej ringkas di Instagram Story miliknya.
“Saya tidak pernah menggunakan dadah. Saya mendoakan yang terbaik untuknya,” tegas Sandara dalam perkongsian berkenaan.
Pada masa yang sama, peminat turut menyedari bahawa Sandara dilihat sudah tidak lagi mengikuti akaun Instagram Park Bom, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan antara kedua-dua anggota 2NE1 itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.