Salmonella Dikesan Pada Mentega Kacang Pula, KKM Minta Tarik Balik Produk

Share

Apa yang merisaukan, wabak Salmonella kali ini dikatakan tersebar pula melalui produk mentega kacang berjenama ‘Jif’. pula.

ARTIKEL BERKAITAN : Lima Wabak Virus Pembawa Maut Yang Pernah Menyerang Rakyat Malaysia

Malah, Kementerian Kesihatan (KKM) turut meminta syarikat yang mengimport produk mentega kacang berjenama ‘Jif’, untuk menarik balik produk itu daripada pasaran.

Foto Via Taste Of Home

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia berdasarkan semakan yang dilakukan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), yang mendapati produk berkenaan telah diimport ke negara ini.

Beliau berkata KKM mengambil maklum berhubung isu penarikan balik produk itu dari pasaran Amerika Syarikat, kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notifikasi yang diterima dari ‘International Food Safety Authorities Networks’ (INFOSAN).

“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memantau di semua pintu masuk negara, bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki negara.

“Penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.

Bakteria Salmonella?
Bakteria Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses, jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: BERNAMA
IKLAN