Berita

Sabrina Mohamed Kongsi Perjalanan Di Sebalik Kejayaan Ijazah Sarjana Undang-Undang Di UKM

Share

Kejayaan menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang dengan cemerlang bukan datang dengan mudah. Itulah yang cuba dikongsikan oleh pempengaruh terkenal, Siti Sabrina Mohamed, dalam satu video di TikTok baru-baru ini.

Di sebalik senyuman bangga menerima skrol di atas pentas konvokesyen, terselit cerita tentang pengorbanan keluarga, kepercayaan terhadap ilmu, serta perjalanan panjang yang menuntut kekuatan emosi dan mental.

“Berada dalam keluarga yang penuh dengan ilmuwan kedengaran gah… tapi sebenarnya, ia tidak pernah mudah. Nak pastikan seorang anak berjaya tamat belajar pun sudah cukup mencabar, apatah lagi untuk menggalakkan semua meneruskan pengajian.

“Bukan kerana tiada keinginan untuk sambung belajar, kadang-kadang soal kewangan jadi penghalang, kadang-kadang komitmen kerja, dan ada masanya tanggungjawab keluarga mengikat langkah. Namun entah bagaimana… Mama dan Abah sentiasa jumpa cara untuk memberi ruang kepada impian kami,” katanya.

Dalam perkongsiannya yang penuh emosi itu, Sabrina turut membuka sisi sebenar perjalanan keluarga mereka dalam mengejar ilmu. Lebih menyentuh hati, dia berkongsi bagaimana kasih sayang itu bukan hanya datang daripada ibu bapa, tetapi juga daripada kakak-kakaknya sendiri.

“Di rumah kami, sokongan bukan sekadar kata-kata. Mama dan Abah benar-benar berkorban masa, tenaga dan usaha. Dari menyemak assignment dan kertas kerja kami, mengajar cara menulis yang kami gunakan sampai hari ini, menyediakan makanan panas supaya kami tak belajar dengan perut kosong, hinggalah memotong buah bila stres datang menyerang.

“Mama dan kakak-kakak juga sama—saling bergilir menjaga anak ketika musim exam supaya yang lain boleh fokus belajar. Kami saling memikul antara satu sama lain, seperti mana hanya keluarga yang mampu lakukan,” coretnya panjang.

Bagi Sabrina, perjalanan mereka seolah-olah telah diatur indah oleh Tuhan. Perkongsian itu diakhiri dengan satu pesanan penuh makna, yang wajar dijadikan peringatan untuk semua.

“Mungkin juga bukan kebetulan peperiksaan universiti kami jarang bertembung, mungkin Allah telah aturkan supaya kami boleh bergilir menyokong, menguatkan dan memegang tangan satu sama lain ketika perlu.

“Jadi, kalau dalam keluarga kamu ada sesiapa yang sedang belajar, bantulah mereka. Kadang-kadang, kasih sayang dan sokongan yang kita beri itulah yang mengiring mereka sampai ke garisan penamat,” tambahnya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: TikTok Sabrina

Published by
Fath