
Roblox, GTA & PUBG antara 10 permainan bakal dilesenkan kerajaan atas faktor keselamatan kanak-kanak selepas peningkatan kebimbangan terhadap kesan negatif permainan dalam talian yang mengandungi unsur keganasan, jenayah dan perjudian maya.
Langkah ini diumumkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang kini sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi melindungi kesejahteraan mental serta keselamatan digital golongan bawah umur.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 permainan popular yang disifatkan tidak sesuai untuk individu bawah 16 tahun. Antara senarai tersebut termasuk Roblox, Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.
“Kami sedang menilai bentuk peraturan terbaik dan paling berkesan. Buat masa ini belum ada keputusan muktamad, namun kerajaan tidak akan berdiam diri dalam isu ini,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak, memandangkan sebahagian besar remaja kini menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin untuk bermain permainan dalam talian.
Langkah kerajaan ini turut dipacu oleh kejadian mengejutkan di Batu Pahat, Johor, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas dipercayai ditikam oleh abangnya berusia sembilan tahun gara-gara pertikaian berkaitan permainan Roblox.
Siasatan mendapati suspek bertindak agresif selepas kehilangan hampir sejuta mata permainan apabila telefon bimbitnya rosak.
Susulan insiden itu, Datuk Fahmi memaklumkan beliau sendiri melarang anaknya daripada bermain Roblox dan telah memadam aplikasi tersebut dari semua peranti di rumahnya.
Kerajaan turut akan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) yang dijangka berkuat kuasa awal tahun hadapan. Akta ini bakal memaksa penyedia platform digital untuk menyediakan persekitaran siber yang lebih selamat dan mesra kanak-kanak.
Dalam masa sama, MCMC dijangka mengadakan perbincangan bersama syarikat media sosial antarabangsa di Singapura minggu depan bagi memperkukuh pelaksanaan sistem eKYC (Electronic Know Your Customer) satu langkah verifikasi identiti pengguna bagi membanteras akaun palsu dan aktiviti berisiko dalam talian.
Permainan video seperti Roblox boleh menjadi hobi yang menyeronokkan dan mengasah minda, tetapi tanpa kawalan, ia boleh mempengaruhi tingkah laku serta kesejahteraan emosi. Remaja disaran supaya bermain secara beretika dan mengawal masa skrin, manakala ibu bapa pula perlu lebih terbuka berbincang dan memantau kandungan permainan anak-anak.
“Sebahagian permainan ini mengandungi unsur jenayah, kekerasan dan perjudian, malah ada yang memberi ganjaran maya apabila pemain melakukan tindakan ganas. Ia boleh mempengaruhi emosi dan perkembangan minda kanak-kanak,” jelas Fahmi.
Langkah kerajaan ini dilihat sebagai usaha penting untuk melindungi generasi digital Malaysia daripada ancaman dunia siber yang semakin kompleks. Bagi remaja, ini adalah masa untuk lebih bijak menilai hiburan digital bukan semua permainan itu buruk, tapi bermain tanpa kawalan boleh membawa padah.
Sumber: BH Online