
Isu gaji rendah bukan lagi topik baharu dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda. Walaupun kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 baru-baru ini, ramai berpendapat ia sekadar ‘plaster sementara’ kepada masalah yang jauh lebih besar.
Bekas Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim tampil menyuarakan pandangan yang mengundang perhatian ramai apabila menyatakan bahawa gaji graduan universiti sepatutnya berada dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000, jika diselaraskan dengan kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.
Hakikatnya, menurut beliau, graduan baharu ketika ini hanya memperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000, itu pun jika bernasib baik. Lebih membimbangkan, beliau mendedahkan bahawa gaji sebenar rakyat Malaysia telah merosot hampir tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad lalu.
Sebagai perbandingan, beliau menyatakan bahawa gaji RM2,000 hingga RM3,000 hari ini hanya sedikit lebih tinggi daripada RM1,300 yang diterimanya pada tahun 1984.
Malah, julat gaji RM7,000 hingga RM8,000 yang dicadangkannya itu sebenarnya bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada era 1980-an.
Rata-rata netizen menganggap pendedahan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Ada yang berpendapat gaji sukar meningkat kerana kebanyakan syarikat terlalu berkira dalam soal perbelanjaan.
Seorang lagi pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana mereka yang tinggal di Lembah Klang mampu bertahan dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, apatah lagi dengan kos sewa, pengangkutan dan makanan yang semakin meningkat. Tidak hairanlah semakin ramai terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup.
Tidak lama dahulu, cadangan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 turut menerima tentangan daripada Malaysian Employers Federation (MEF).
Ketika itu, MEF menyatakan bahawa perniagaan belum bersedia melaksanakan kadar baharu susulan kerugian yang dialami akibat pandemik Covid-19. Mereka juga berhujah bahawa kenaikan gaji boleh meningkatkan kos barangan, perkhidmatan serta kos operasi, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Bagaimanapun, awal tahun ini MEF akhirnya menyokong kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dengan alasan ia mampu membantu majikan menarik dan mengekalkan bakat, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menurut Muhammad Ibrahim, Malaysia sudah lama terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana. Beliau menegaskan bahawa negara memerlukan rombakan menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan struktur ekonomi.
Antara punca utama yang dikenal pasti ialah kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, kegagalan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi serta sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang ketinggalan zaman.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila rakyat Malaysia sendiri berhijrah ke luar negara demi gaji lebih lumayan, walaupun terpaksa melakukan pekerjaan buruh.
“Jika Malaysia gagal mentransformasikan struktur ekonominya, kita berisiko menjadi pengeksport tenaga buruh dan bukannya bakat. Suatu hari nanti, anak-anak kita mungkin bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara dan saya tidak akan terkejut jika ia berlaku.”
Beliau turut memberi contoh negara seperti China, Taiwan, South Korea dan Japan yang suatu ketika dahulu berada di belakang Malaysia dari segi pendapatan per kapita pada era 1960-an.
Namun hari ini, negara-negara tersebut telah jauh meninggalkan Malaysia hasil strategi pertumbuhan yang dirancang secara konsisten selama beberapa dekad.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak seharusnya menanda aras dengan ekonomi ASEAN yang lebih lemah. Sebaliknya, negara perlu menyasarkan ekonomi berprestasi tinggi serta memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Harian, Bernama