Berita

RM20,000 Dana Disalurkan, Datuk Alha Alfa Tunaikan Amanah Bantu Anak Amyza Aznan Lawan Kanser Tulang

Share

Di sebalik ujian berat yang sedang dilalui keluarga pelakon Amyza Aznan, masih ada sinar harapan apabila ramai tampil menghulurkan bantuan demi meringankan beban mereka.

Terbaharu, usahawan kosmetik terkenal, Datuk Alha Alfa telah menyampaikan amanah sebanyak RM20,000 bagi membantu kos rawatan anak kedua Amyza, Adrian Adam yang kini sedang berjuang melawan kanser tulang.

Amanah Hasil Jualan Produk Khas

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Alha memaklumkan bahawa sumbangan tersebut merupakan hasil daripada jualan set produk khas yang dilancarkan sebelum ini bagi tujuan mengumpul dana.

Beliau turut menzahirkan doa dan harapan agar segala urusan keluarga Amyza dipermudahkan, selain memohon orang ramai untuk terus mendoakan kesembuhan Adrian.

“Salam semua pengguna yang sokong pembelian set untuk kita bantu kos rawatan anak kedua Kak Amyza Aznan iaitu Adrian Adam. Saya telah pun sampaikan amanah ini.

“Semoga dipermudahkan urusan Kak Amyza dan anak-anak, kami sentiasa doakan. Semoga Ian sihat sediakala, mari kita doakan kesembuhan Syifa untuk Ian, amin amin amin.” tulisnya.

Niat Ikhlas Mahu Membantu

Beberapa hari sebelum itu, Alha telah mengumumkan pelancaran set produk khas dengan tujuan mengumpul dana bagi membantu dua anak lelaki Amyza iaitu Andre Mikhail, 20, dan Adrian Adam, 18, yang masing-masing disahkan menghidap kanser.

Dalam hantaran sebelum pelancaran, beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut dilakukan dengan niat untuk membantu keluarga berkenaan, di mana hasil kutipan jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada mereka.

Ujian Kehilangan Anak Sulung

Bagaimanapun, keluarga tersebut diuji dengan tragedi menyayat hati apabila Andre Mikhail, yang menderita kanser paru-paru tahap tiga, disahkan meninggal dunia sehari selepas pelancaran produk berkenaan.

Pemergian itu memberi tamparan hebat kepada keluarga, namun sokongan daripada orang ramai terus mengalir bagi membantu mereka menghadapi ujian tersebut.

Doa Mengiringi Perjuangan Adrian Adam

Kini, perhatian keluarga serta masyarakat tertumpu kepada Adrian Adam yang masih meneruskan perjuangannya melawan kanser tulang.

Sumbangan yang disalurkan bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga menjadi simbol sokongan dan solidariti orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan agar Adrian diberikan kekuatan serta kesembuhan sepenuhnya.

Sesungguhnya, di saat ujian datang tanpa diduga, keprihatinan dan solidariti masyarakat menjadi bukti bahawa masih ramai yang sedia menghulurkan tangan demi membantu mereka yang memerlukan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath