Restoran Dan Kedai Makan Masih Operasi Macam Biasa, Cuma Tak Boleh ‘Dine In’ Je!

Share

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order bermula esok, selama 14 hari iaitu (Rabu 18 Mac) sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun apa yang diperhatikan, ramai tersalah anggap dan menggunakan istilah ‘lockdown’ walhal apa yang dikuatkuasakan bukanlah lockdown tetapi hanya kawalan pergerakan.

Jadi korang tak perlu risau kena ikat perut sebab kedai makan dan restoran semua akan ditutup. Ini kerana semua kedai makan dan restoren di seluruh negara akan beroperasi seperti biasa esok dan hari-hari seterusnya.

Menurut Sinar Harian, restoran dan kedai makan boleh meneruskan operasi mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pelanggan hanya dibenarkan membungkus atau membuat permintaan penghantaran makanan ke tempat masing-masing.

“Kita galakkan pemilik restoran membuat perkhidmatan penghantaran bagi memudahkan orang awam,” katanya.

Menurutnya, jarak sosial yang selamat antara individu merupakan kunci utama pelaksanaan perintah tersebut.

Namun pasar malam tidak dibenarkan beroperasi kerana ia mengundang perjumpaan orang ramai. Selain memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

“Kita arahkan peniaga segera menambah bekalan keperluan semasa,” katanya.

Justeru katanya, rakyat tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik kerana seramai 2,500 penguat kuasa KPDNHEP turut diarahkan untuk menjalankan pemantauan di lokasi tertentu.

Sumber : Sinar Harian

IKLAN