
Kalau korang peminat Coney Dog di restoran A&W, kami nak cadangkan satu resipi yang dikongsi oleh Mohamad Fakhrul Aiman dalam page Suami Masak Apa Hari Ini? Di Facebook.
Lihat pada gambarnya sahaja dah membuatkan korang terliur. Kalau nak beli di A&W harga tak lari daripada RM7 ke RM8 sebiji. Jadi, lelaki ini mengambil inisiatifnya sendiri dengan berkongsi resipi membuat coney dog yang pastinya dengan modal yang lebih berbaloi.

Jom kita try resipi yang telah dikongsi oleh Mohamad Fakhrul Aiman.
Bahan-bahan:
– Roti sosej
– Sosej
– Daging kisar lembu
– sebiji bawang holland
– 3 ulas bawang putih
– Sebiji tomato
– 5 biji cendawan butang
– 2 sudu serbuk cili
– 2 sudu sos tomato
– 2 sudu serbuk jintan putih
– 1 sudu serbuk kari
– 1 sudu serbuk lada hitam

Cara penyediaan:
1. Potong dan cincang separuh bawang holland, bawang putih, sebiji tomato serta cendawan butang. Tomato tu rebus dulu sebab nak buang kulit dia dan isi tengah.
2. Daging kisar tu jangan lupa basuh dulu. Basuh dengan gandum pastu sejat daging kisar untuk buang air.
3. Kemudian tumis sekejap bahan-bahan yang dipotong cincang tadi tu dengan minyak panas dan masukkan daging kisar yang disejat.
4. Selepas tu, masukkan serbuk cili, sos tomato, serbuk jintan putih, serbuk kari dan lada hitam seperti dalam resipi. Tambahkan secawan air. Jangan lupa sedikit garam dan gula bagi secukup rasa.
5. Kacau hingga masak. Pastikan sambal tu tidak terlalu kering. Bila dah masak, biarkan seketika.
6. Roti sosej tu kukus terlebih dahulu supaya roti tersebut lembut. Lebih kurang 1-2 minit.
7. Sama juga dengan sosej. Kukus dalam 5 minit. Sosej tu pilih sosej pulut jumbo. Supaya rasa dia mewah sikit. Tak kisah pun sosej apa nak guna, terpulang. Dan sebelum kukus, kelar/hiris sosej terlebih dulu. Nak bagi dalam sosej tu masak sekali.
6. Apabila semua dah selesai, letakkan sosej diatas roti, kemudian letakkan sambal daging kisar tu diatasnya. Akhir sekali separuh lagi bawang holland tu potong dadu dan taburkan di atas sambal daging. Kalau tak mahu pun tak apa.
7. Sedia untuk dihidang. Kalau nak tambah cheese ke, letak sos cili ke, sos mayonis ke, pun boleh je tiada masalah. Makan macam tu pun dah sedap dah. Hiks!
Selamat mencuba!
Sumber: Mohamad Fakhrul Aiman
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
10 Tip Untuk Solo Travel Secara Selamat

Beberapa hari lepas telah berita global telah gempar dengan kematian seorang gadis berusia 25 tahun yang telah dibunuh semasa melakukan pengembaraan dan percutian secara solo di Costa Rica.
Ini sekali gus memberikan igauan ngeri terutamanya kepada golongan wanita muda untuk melakukan solo travel seperti mangsa. Adakah mengembara seorang diri ke seluruh dunia bagi seorang wanita tidak selamat?
Terdapar beberapa tip untuk kamu boleh ikuti untuk mengelakkan diri menjadi mangsa. Ia bukanlah jalan yang boleh berikan keselamatan secara mutlak kerana orang jahat ini memang ada di mana-mana. Tapi REMAJA berharap dengan tip kami kongsikan ini boleh memberi manfaat kepada kamu yang ingin mengembara secara solo.
1. Research sebelum pergi
Buat perancangan dan kajian yang mendalam sebelum kamu pergi ke sesebuah negara atau lokasi. Ambil tahu kadar jenayah di negara tersebut dan baca review-review yang dikongsikan oleh pengembara sebelum ini di Internet.
2. Jangan bawa terlalu banyak barang berharga
Kalau boleh tinggalkanlah segala barang kemas yang mahal di rumah dan jangan dibawa semasa mengembara secara solo. Ia boleh merendahkan lagi risiko kamu dirompak. Jika memakai barang kemas kamu boleh menjadi sasaran penjenayah yang tak berhati perut.
3. Bawa apa yang perlu sahaja
Ketika keluar untuk berjalan-jalan kamu tidak perlu membawa duit yang banyak, kad kredit atau segala peralatan elektronik yang mahal. Stay low profile dan bawa apa yang kamu rasakan perlu sahaja.
4. Jangan mudah percayakan orang
Ia kedengaran seolah-olah sangat sinikal dan prejudis. Tapi begitulah lumrah dunia sekarang yang penuh dengan macam-macam jenis orang apatah lagi penjenayah. Ya, kamu perlu bersopan dan sentiasa bercakap dengan ramah tetapi ingat… jangan mudah percayakan orang lain.
5. Awasi apa yang kamu makan
Jika baru kenal dengan orang asing berhati-hatilah dengan apa yang mereka beri kamu makan atau minum.
BACA: 6 Perkara Yang Kamu Perlu Tahu Semasa Melancong Ke Negara Jerman
6. Sentiasa simpan dan bawa nombor kecemasan
Setiap negara mempunyai nombor kecemasan yang berbeza. Tidak sukar untuk mencari nombor tersebut kerana ia pasti akan ada di mana-mana sahaja. Selain itu, kamu juga perlu simpan nombor telefon kedutaan Malaysia. Just in case kalau ada apa-apa kecemasan berlaku. Dan satu perkara lagi tolonglah inform kepada ibu bapa atau adik-beradik ke mana sahaja kamu pergi.
7. Pilih tempat tinggal selamat
Tempat penginapan juga perlu kamu tekankan faktor keselamatan. Carilah hotel atau hostel yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik. Jangan kerana harganya murah kamu ketepikan soal keselamatan pula.
8. Simpan salinan dokumen penting
Untuk worst case scenario, salinan dokumen ini sangat penting sekali. Bawa dan simpan di tempat selamat salinan passport, kad pengenalan dan juga dokumen penting yang lain.
9. Insurans perjalanan
Ya, insurans perjalanan atau travel insurance sangat penting. Ia merupakan back up kepada kamu jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini. Kita hanya mampu merancang tetapi tidak dapat menjangka apa yang berlaku di masa akan datang.
10. Sentiasa berhubung
Amatlah penting untuk salah seorang ahli keluarga kamu sentiasa up-to-date akan di mana keberadaan kamu. Contohnya nama hotel kamu menginap, nombor penerbangan dan juga lokasi yang bakal kamu tujui.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dari Gelanggang Ke Layar Perak, Atlet Taekwondo Arnie Shasha Tak ‘Kekok’ Berlakon

Siapa sangka, dari seorang atlet, kini mula ‘bertatih’ memasuki bidang industri hiburan tanah air. Apabila sudah terbiasa dengan gelanggang perlawanan, selepas itu, kini masuk pula ke set pengambaran, ia sekaligus kehidupan bagaikan bertukar 360 darjah.
Sedar bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon terutama dalam menjayakan sesebuah watak, bakat baharu yang juga atlet Taekwondo, Arnie Shasha berkongsi agak sukar bagi menjayakan karakter seorang wanita ‘ganas’ menerusi sebuah filem terbaharu, Harum Malam arahan Dain Said.
ARTIKEL BERKAITAN: Wajah ‘Maskulin’ & Impak Watak Kahar, Amir Ahnaf Kini Semakin Digilai Ramai

Arnie bagaimanapun memaklumkan dirinya bersyukur dengan lakonan sulungnya sebagai Ah Boy itu mendapat reaksi positif daripada para pelakon senior pada sesi tayangan perdana filem berkenaan.
“Saya tidak nafikan bukan mudah menjayakan filem ini kerana saya ‘introvert‘ terutama apabila diminta melakukan adegan yang agak ganas seperti kena rasuk.
“Ketika penggambaran ada sedikit perasaan tidak selesa sebab baju saya basah dengan darah dan saya kena telan darah, katanya yang berlatih sebulan sebagai persediaan menghayati karakter.

“Sasha mengaku mengambil masa untuk selesa dengan persekitaran di set penggambaran dan pelakon ‘senior’. Mujur dapat sokongan pengarah dan pelakon lain. Dain banyak membimbing saya”, katanya kepada Remaja.
Anak perempuan kepada pengasas, D’Ayu Pictures Sdn Bhd, Datuk Rosmarayu Mokhtar itu turut memberitahu bahawa dirinya perlu juga menghadiri uji bakat sebelum memasuki set, dan bukannya menggunakan ‘nama’ ibunya sebagai laluan pantas untuk menjadi seorang pelakon.
“Uji bakat yang dikendalikan memang susah. Selain itu, saya juga ikuti kelas lakonan bersama Cikgu Hazlin. Ibu berpesan agar saya beri yang terbaik dan jangan sombong. Alhamdulillah, saya terima sokongan keluarga.
“Ini kali pertama saya berlakon dan tidak pernah terima kritikan. Jadi, pastinya saya harapkan komen yang baik-baik” tuturnya lagi.

Bertanya perkembangan karier sukannya pula, bintang yang kini berusia 18 tahun itu memaklumkan buat masa sekarang dia mahu fokus kepada taekwondo bagi mewakili negara dalam Sukan SEA 2023.
“Saya dalam sesi latihan untuk melayakkan diri ke Sukan SEA 2023. Ini kali pertama saya sertai kejohanan sukan ini melalui taekwondo. Saya terbabit dengan taekwondo sejak usia 10 tahun lagi. Jadi, saya sedang berusaha untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2023.
“Insya-Allah saya akan bertarung bulan ini untuk ketahui peluang saya. Jadi, jika ditanya antara berlakon atau sukan, saya pilih bidang sukan,” kongsi Arnie lagi.

Sekadar informasi, Harum Malam terbitan Apparat dengan kerjasama D’Ayu Pictures dan Skop Productions Sdn Bhd mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 9 Februari ini
Selain Arnie Shasha, filem ini turut dibintangi Idan Aedan, Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Arnie Shasha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Senarai Filem-Filem Seram Indonesia Yang Best Untuk Korang Layan

Tidak dinafikan negara jiran kita, Indonesia adalah antara yang sering menghasilkan filem-filem seram yang berjaya membuatkan penonton tidak senang duduk di dalam pawagam mahu pun di hadapan kaca televisyen.
Ada juga yang membuatkan kita hingga takut nak ke toilet dan tidur bersendirian. Babak-babak suspen yang dipaparkan memang menjadi!
Bagi korang yang suka dan tercari-cari filem seram Indonesia apa yang nak ditonton, berikut kamu senaraikan antara 14 filem seram terbaik dari Indonesia.
1. Pengabdi Setan
Ia berkisarkan tentang sebuah keluarga di mana si ibu telah mengalami sakit yang aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia. Si bapa kemudian telah mendapat kerja di luar kota dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah.
Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah. Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.
2. Kuntilanak
Sekumpulan kanak-kanak meneroka sebuah rumah terbiar untuk cuba memenangi rancangan realiti yang mahu membuktikan kewujudan kuntilanak yang sering menculik anak kecil.
3. Makmum
Diadaptasi dari filem pendek yang berkisar mengenai entiti menakutkan yang mengganggu seorang wanita ketika sedang menunaikan solat.
4. Ruqyah: The Exorcism
Pada pertengahan tahun 2012, Mahisa (Evan Sanders) ingin menolong seorang pelakon bernama Asha (Celine Evangelista) yang merasa diganggu oleh makhluk halus. Merasa terlalu banyak kejadian aneh yang dilihatnya, ia yakin bahawa Asha tengah dirasuki makhluk ghaib. Selepas berunding dengan seorang ustadz kenamaan, ia mencuba melakukan ruqyah untuk membersihkan Asha.
Namun ternyata apa yang merasuki Asha tidak mudah untuk dilepaskan, walaupun menyerang Mahisa. Apa yang merasuki Asha memang diperuntukkan menjadi “pemikat” agar disukai banyak orang. Mahisa pun tertarik kepada Asha.
Khabarnya filem ini adalah daripada kisah benar yang berlaku terhadap salah seorang selebriti di Indonesia. Wallahualam.
5. Suzzana Bernapas Dalam Kubur
Suzzanna dan Satria tinggal di rumah bersama tiga pembantu. Satu hari, apabila Satria bekerja di luar kawasan, empat pekerjanya melihat ini sebagai peluang untuk merompak rumahnya. Mereka mendapat peluang apabila rumah itu ditinggalkan kosong selepas Suzanna dan pembantunya keluar.
Malangnya, ketika rompakan berlaku, Suzzanna pulang ke rumah seorang diri. Mereka kemudian telah membunuhnya dan menanam mayatnya di belakang rumah. Bagaimanapun, keesokan harinya, Suzzanna kembali ke rumah itu seperti tiada apa yang berlaku pada malam sebelumnya.
6. Santet: Black Magic
Selepas tinggal bertahun di Amerika, Rendy pulang ke kampung halamannya di Indonesia bersama isteri dan dua anak mereka. Dia perlu menjaga ibunya yang sedang sakit dan tinggal berseorangan selepas bapanya membunuh diri.
Ibunya secara tiba-tiba mula menyerang isteri dan anaknya, dan apabila ibunya muntah darah, kaca dan paku di hadapan mereka, Rendy membawa ibunya ke hospital walaupun tahu tiada perubatan moden yang dapat membantu. Rendy mula menyedari ibunya terkena sihir hitam iaitu santau.
7. Sebelum Iblis Menjemput: Ayat 2
Dua tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya, Alfie dan adiknya Nara cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun cuba melupakan masa lampaunya, namun dia masih dihantui gambaran-gambaran menakutkan. Alfie menyedari akan bahaya yang bakal dihadapi bersama rakan-rakannya apabila muncul satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka.
8. Pocong The Origin
Sebelum seorang pembunuh kejam bernama Ananta dihukum bunuh oleh kerajaan negerinya, dia memberitahu anak perempuannya Sasthi bahawa dia perlu dikebumikan di kampung asalnya.
Selepas kematiannya, Sasthi dan seorang pengawal penjara, Yama, pergi ke kampung halaman Ananta membawa mayat ayahnya. Sepanjang perjalanan, mereka menghadapi pelbagai gangguan aneh, membuatkan mereka mengalami kepayahan memindahkan mayat itu, lebih-lebih lagi mereka perlu melakukannya sebelum bulan purnama.
Ini kerana Ananta dipercayai mengamalkan ilmu hitam di mana jika pengamalnya tidak dikebumikan di kampung asal selepas kematian, mereka akan dihidupkan semula dan bulan purnama menjadikan mereka lebih kuat.
9. Perempuan Tanah Jahanam
Maya, seorang gadis muda yang terselamat dari percubaan membunuh di bandar, berpindah ke kampung halamannya selepas mendapat tahu dia mewarisi sebuah rumah di sana.
Dia pulang ke kampung itu bersama rakannya Dini, tanpa menyedari orang-orang kampung sedang mencarinya untuk membunuhnya demi menghentikan sumpahan yang mengganggu kampung tersebut selama bertahun-tahun. Dia menyedari bahawa dia kini perlu berjuang untuk meneruskan hidup, dalam pada dia merungkai masa silamnya yang rumit dengan lebih dalam.
10. Sakral: Keramat
Keluarga Melina diganggu satu entiti misteri dan lebih mengejutkan, orang-orang di sekelilingnya mula mati seorang demi seorang. Apabila suaminya, Daniel, cuba membongkar rahsia di sebalik gangguan aneh dan kematian itu, dia mendapati semuanya berkait dengan kematian salah seorang anak kembar mereka beberapa tahun lalu.
Melina tidak pernah melupakan kematian itu, sementara kembar yang hidup, Flora, telah membesar menjadi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang muram dan bermisteri. Semakin Daniel cuba merungkai misteri itu, semakin banyak bahaya yang dihadapi keluarganya.
11. Jaga Pocong
Lakonan mantap daripada Acha Septriasa yang memegang watak sebagai Mila, seorang jururawat yang bekerja di hospital dan terpaksa ditugaskan di rumah seorang pesakit wanita tua bernama Sulastri. Walaupun mendapat firasat yang tidak baik, Mila berusaha untuk menafikannya dan akhirnya, dia mendapati bahawa pesakit yang diuruskannya itu sudah meninggal dunia.
12. Si Manis Jembatan Ancol
Sebuah ‘reboot’ kepada filem yang sama judul pada tahun 1990-an. Ia berkisar mengenai seorang wanita bernama Maryam yang tersepit dalam perkahwinan yang tidak bahagia bersama Roy. Dia mula berasa selesa berkawan rapat dengan Yudha, seorang pelukis yang baru dikenalinya.
Namun persahabatan ini menyebabkan suaminya telah menuduhnya mempunyai hubungan sulit dan dia kemudiannya mati dalam keadaan tragis. Sejak kematiannya, kelibat roh Maryam, yang memakai selendang merah, mula muncul di tempat awam, menakutkan orang awam yang terserempak dengannya.
13. Danur
Ketika ulang tahun kelapannya, seorang budak perempuan bernama Risa telah membuat permintaan untuk mempunyai rakan supaya dia tidak berasa sunyi lagi. Bagaimanapun ibunya, Elly, mula mengesyaki sesuatu apabila anak perempuannya sering bergelak dan bermain seorang diri.
Dengan bantuan rakan Elly, Risa dipaksa untuk meninggalkan rumah neneknya. Sembilan tahun kemudian Risa perlu pulang semula ke rumah neneknya dengan adiknya Riri. Ketika ini kejadian pelik dan menakutkan mula berlaku dan secara tiba-tiba Riri hilang. Risa kini perlu menyelamatkan adiknya daripada enititi jahat yang merancang membawa Riri ke dunia lain.
14. Aku Tahu Kapan Kamu Mati
Siena mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk melihat petanda seseorang akan mati selepas dia mengalami insiden ‘mati suri’, iaitu mati hidup semula. Walau bagaimanapun, rakan-rakannya, Flo, Neni dan Vina, tidak mempercayai akan kebolehannya itu.
Dia menjadi semakin takut apabila orang-orang di sekelilingnya mati seorang demi seorang, selepas muncul roh-roh yang ingin menjemput mereka. Apabila petanda itu muncul pada lelaki yang disukainya, Brama, serta orang-orang yang rapat dengannya, Siena cuba untuk menyelamatkan mereka, sehinggalah petanda itu muncul pada dirinya sendiri.
Selamat menonton!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!



