
Kisah seorang lelaki China, Wang Shangkun yang menjual buah pinggangnya demi sebuah iPhone 4 dan iPad 2 kini kembali tular. Selepas lebih sedekad, kehidupannya bertukar tragis apabila pada usia 31 tahun, dia disahkan hilang upaya kekal dan terpaksa bergantung pada rawatan seumur hidup.
Kisah Wang bermula pada tahun 2010, ketika dia baru berusia 17 tahun. Hidup dalam keluarga miskin di wilayah Anhui membuatkan dia rasa ketinggalan apabila tidak mampu memiliki iPhone 4, gajet yang ketika itu dianggap simbol status dan kemewahan.
Terpengaruh dengan mesej media sosial, Wang berhubung dengan sindiket pemerdagangan manusia untuk menjual salah satu buah pinggangnya. Pada 2011, dia menjalani pembedahan haram dan menerima bayaran 20,000 yuan (kira-kira RM9,400). Wang terus membeli iPhone 4 dan iPad 2 idamannya, namun kegembiraan itu tidak lama.
Ibunya yang curiga dengan gajet baharu memaksa Wang mengaku. Bagai langit runtuh, si ibu mendengar sendiri pengakuan anaknya. Tidak lama selepas itu, kesihatan Wang merosot akibat jangkitan kuman hingga buah pinggang yang tinggal gagal berfungsi.
Walaupun sindiket itu berjaya ditumpaskan dan keluarga Wang menerima pampasan lebih 1.48 juta yuan, jumlah itu tidak mampu mengembalikan kesihatannya. Kini, fungsi buah pinggang Wang tinggal hanya 25 peratus. Dia sering jatuh sakit, tidak mampu bekerja, dan terpaksa menjalani dialisis sepanjang hayat.
Wang sendiri mengaku tindakannya menjual buah pinggang demi sebuah telefon dan tablet adalah penyesalan terbesar dalam hidupnya. Segalanya berpunca daripada keinginan untuk kelihatan setaraf dengan orang lain, tanpa memikirkan risiko masa depan.
Kisah Wang muncul semula ketika iPhone masih menjadi simbol status di Asia, termasuk di Thailand dan negara-negara lain. Harga iPhone 17 Pro kini mencecah sekitar RM5,200, dengan varian premium jauh lebih mahal.
Kisah tragis ini wajar dijadikan sempadan oleh generasi muda. Keinginan memiliki barangan mewah tidak sepatutnya membuat kita sanggup menggadaikan nyawa. Nilai diri seseorang tidak pernah ditentukan oleh jenama gajet atau pakaian, tetapi oleh kebijaksanaan, usaha dan kesihatan yang kita jaga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.