
gambar hiasan
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Vietnam apabila dia meninggal dunia selepas memicit jerawat dan menggunakan produk sapuan yang tidak disahkan keselamatannya.
Menurut kenyataan Hospital Nasional Penyakit Tropika Vietnam, remaja berkenaan mengalami kejutan septik (sepsis) akibat bakteria Staphylococcus aureus yang memasuki tubuh melalui luka jerawat yang meradang di wajahnya. Bakteria ini merebak dengan pantas dalam badan, merosakkan otak dan paru-paru mangsa.
Walaupun menerima rawatan intensif termasuk alat bantuan pernafasan dan penapisan darah, remaja itu tidak menunjukkan tindak balas positif dan akhirnya disahkan meninggal dunia.
Seorang pakar dermatologi dari hospital tersebut menjelaskan, memicit jerawat dengan tangan yang tidak bersih boleh merosakkan lapisan kulit, membuka ruang kepada bakteria berbahaya menembusi kulit dan masuk ke dalam sistem badan.
“Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan jangkitan serius seperti selulitis atau sepsis yang mengancam nyawa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan remaja supaya tidak sewenang-wenangnya memicit jerawat sendiri di rumah. Sekiranya perlu, dapatkan rawatan daripada pusat perubatan atau klinik pakar kulit yang bertauliah.
Kes ini turut dikaitkan dengan penggunaan produk sapuan yang tidak diketahui kandungan serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ramai remaja mudah terpengaruh dengan iklan di media sosial, produk murah tanpa memikirkan kesan sampingan yang boleh membahayakan kesihatan.
Selain itu, pakar menasihatkan agar:
✅ Menjaga kebersihan diri, cuci tangan sebelum menyentuh wajah
✅ Tidak menggunakan produk rawatan jerawat atau pemutih kulit yang tidak diketahui asal-usulnya
✅ Memilih produk kosmetik yang non-komedogenik (tidak menyumbat liang pori)
✅ Sentiasa membersihkan wajah dengan sempurna terutamanya selepas memakai solekan
Kes di Vietnam ini menjadi pengajaran besar buat kita semua. Niat mahu cantik itu tidak salah, tetapi jangan sampai mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan.
Kesihatan kulit memerlukan kesabaran, penjagaan yang betul dan produk yang selamat. Jangan tertipu dengan janji manis ‘kulit flawless dalam masa singkat’ yang boleh membawa risiko besar kepada diri sendiri.
BACA LAGI : Nahas UPSI: Nurly Shahirah Meninggal Al-Quran Di Tangan. “Pergi Al-Quran Di Tangan Dan Di Dada..”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.