Kisah seorang remaja perempuan di China yang menghidap penyakit leukemia menyentuh hati jutaan masyarakat apabila hasrat terakhirnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama rakan sekelas berjaya ditunaikan, hanya dua hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Remaja berkenaan, Yao Yingbei atau lebih mesra disapa Beibei, merupakan pelajar Sekolah Menengah Songjiang di wilayah Guizhou, barat daya China.

Walaupun sudah berusia 18 tahun, Beibei masih berada di Tingkatan Tiga kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan dia meneruskan persekolahan seperti remaja seusianya.

Menurut laporan, Beibei disahkan menghidap leukemia sejak lima tahun lalu sehingga terpaksa mengambil cuti persekolahan bagi menjalani rawatan.

Sepanjang tempoh tersebut, ibu bapanya tidak pernah berputus asa mencari jalan untuk menyelamatkan nyawa anak kesayangan mereka.

Malah, pasangan berkenaan turut berusaha merawat Beibei menggunakan darah tali pusat adik perempuannya yang mengandungi sel stem, menerusi prosedur pemindahan sel stem.

Usaha tersebut pada awalnya membuahkan hasil apabila keadaan kesihatan Beibei semakin menunjukkan perkembangan positif.

Dia juga berpeluang kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran bersama rakan-rakannya setiap kali keadaan kesihatannya mengizinkan.

Hasrat Terakhir Remaja Hidap Leukemia Mahu Belajar Bersama Rakan Sekelas Ditunaikan, Meninggal Dunia Dua Hari Kemudian

Penyakit Leukemia Kembali Menyerang, Hasrat Terakhir Mahu Ke Sekolah

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila penyakit leukemia yang dihidapinya kembali menyerang kira-kira tiga bulan lalu.

Ibu bapanya sekali lagi berusaha mendapatkan rawatan di beberapa hospital yang mempunyai kemudahan perubatan lebih baik.

Ads

Namun, selepas dimaklumkan bahawa peluang untuk Beibei pulih semakin tipis, mereka akhirnya mengambil keputusan membawanya pulang untuk mendapatkan penjagaan di hospital berhampiran kampung halaman.

Dalam keadaan kesihatannya yang semakin merosot, guru dan rakan sekelas Beibei tidak pernah melupakannya.

Mereka bergilir-gilir hadir ke hospital setiap hari bagi menemani serta memberikan sokongan moral kepada remaja tersebut.

Apa yang lebih menyentuh hati, ketika berada pada minggu terakhir kehidupannya, Beibei menyuarakan satu permintaan kepada gurunya.

Dia hanya mahu merasai pengalaman mengikuti satu lagi sesi pembelajaran bersama rakan-rakan sekelas, seperti hari persekolahan biasa.

Mendengar permintaan tersebut, pihak sekolah termasuk pengetua dan guru-guru segera berbincang untuk merealisasikan impian terakhirnya.

Ads

Hospital Bertukar Menjadi Bilik Darjah Istimewa

Hasrat Terakhir Remaja Hidap Leukemia Mahu Belajar Bersama Rakan Sekelas Ditunaikan, Meninggal Dunia Dua Hari Kemudian

Bagi memenuhi hasrat Beibei, pihak hospital turut memberikan kerjasama dengan mengubah sebuah ruang menjadi bilik darjah sementara yang dihiasi belon dan patung beruang.

Beberapa rakan sekelasnya dijemput hadir, manakala guru Bahasa Inggeris mereka mengendalikan sesi pembelajaran mengenai arkeologi dan Muzium Sanxingdui.

Menariknya, para pelajar turut diingatkan supaya mengikuti kelas seperti biasa agar Beibei dapat menikmati suasana pembelajaran yang dirinduinya.

Walaupun ketika itu Beibei mengalami demam panas, sakit tulang yang teruk serta pendarahan hidung berterusan, dia tetap bersemangat mengikuti pengajaran gurunya.

Malah, remaja tersebut turut mengulang isi pembelajaran bersama rakan-rakannya, seolah-olah sedang berada di dalam kelas sebenar.

Ads

Namun, dua hari selepas sesi istimewa berkenaan, pada 7 November, pihak sekolah menerima berita sedih apabila Beibei disahkan meninggal dunia.

Seorang gurunya kemudian berkongsi rakaman sesi pembelajaran terakhir itu di media sosial sambil mengenang semangat dan kecintaan Beibei terhadap ilmu pengetahuan.

Kisah Remaja Hidap Leukemia Undang Sebak Warganet

Kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet China yang tersentuh melihat keakraban Beibei bersama guru dan rakan-rakannya.

“Beibei mengikuti kelas Bahasa Inggeris terakhirnya, manakala rakan-rakannya pula menerima pengajaran pertama tentang erti perpisahan,” komen seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi menyifatkan peluang untuk belajar sebagai nikmat yang sering dipandang ringan oleh individu yang sihat, sedangkan ia amat bermakna buat pesakit seperti Beibei.

Buat Beibei, satu sesi pembelajaran yang mungkin dianggap biasa oleh pelajar lain akhirnya menjadi kenangan terakhir yang cukup istimewa.

Sumber : South China Morning Post

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads