
Insiden mengejutkan berlaku apabila seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dikenali sebagai Hamza dilaporkan meninggal dunia selepas makan tiga paket mi segera mentah jenama popular. Tragedi ini bukan sahaja menggemparkan keluarganya, malah menjadi topik hangat di media sosial kerana melibatkan makanan segera yang begitu dekat dengan kehidupan remaja.
Menurut laporan, Hamza makan mi segera mentah itu sejurus pulang dari kelas hafazan al-Quran dan solat Maghrib. Namun hanya 30 minit kemudian, dia mula muntah berulang kali, berpeluh dan mengadu sakit perut yang teramat.
Bapanya segera membawa Hamza ke hospital. Doktor yang merawat mengesyaki keracunan makanan dan mengarahkan pemindahan ke pusat toksikologi. Malangnya, Hamza disahkan meninggal dunia dalam ambulans pada Sabtu, 16 Ogos.
Media tempatan melaporkan remaja itu rebah di rumah keluarganya di daerah El-Marg, Kaherah. Walaupun ada laporan awal mendakwa dia meninggal di rumah, bapanya menegaskan bahawa anaknya menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan.
Ujian perubatan mengesahkan tiada sebarang bahan terlarang ditemui dalam tubuhnya. Sampel mi segera turut diambil untuk dianalisis, manakala bedah siasat dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kes ini kini mendapat perhatian serius pihak pendakwa raya Mesir. Pemilik kedai yang menjual mi segera tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut terhadap produk berkenaan juga sedang dijalankan.
Di media sosial, tragedi ini mencetuskan perdebatan hebat. Ada yang menyeru agar produk mi segera tertentu diboikot, sementara ada yang mempertahankannya dengan mengatakan ia selamat jika dimasak mengikut arahan.
Mi segera memang popular di kalangan remaja kerana murah, mudah dan cepat dimakan. Tetapi pakar pemakanan sejak lama sudah memberi amaran: pengambilan berlebihan boleh membawa risiko gastrousus, alahan, serta menjejaskan fungsi hati dan buah pinggang. Lebih membimbangkan, memakannya mentah membuatkan sistem penghadaman sukar memproses kandungan mi yang tinggi pengawet dan garam.
Bapa Hamza dengan nada sebak menegaskan:
“Apa yang berlaku kepada anak saya adalah satu tragedi. Ia sepatutnya menjadi amaran kepada semua keluarga agar lebih berhati-hati.”
Kisah ini menjadi peringatan besar kepada remaja di Malaysia juga. Jangan jadikan mi segera mentah sebagai snek harian. Kesihatan adalah pelaburan paling penting untuk masa depan jangan biarkan sesuatu yang kelihatan remeh meragut nyawa.
Sumber: Ynet News