
Keadaan penyanyi muda, Amad, yang secara tiba-tiba rebah sebelum membuat persembahan di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) pada malam Ahad lalu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat dan penonton program tersebut.
Mengulas mengenai kejadian itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, memaklumkan bahawa pihak produksi masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
“Kejadian yang berlaku pada Amad itu di luar jangkaan dan kami masih siasat dan tidak tahu puncanya.
“Yang jelas selepas habis konsert nampak dia sudah okay sikit dan mereka terus pulang. Saya sempat berjumpa dengan mereka sebentar,” katanya kepada Remaja sejurus selesai program TTMM yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Raqim, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati Amad berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius.
“Kami sudah buat pemeriksaan dengan pihak perubatan, tekanan darah dan tiada masalah kesihatan. Itu yang disahkan oleh pihak perubatan sendiri.
“Cuma sebelum dia buat persembahan mungkin mengalami ketidakselesaan sebab sebelum ini dia memang tidak demam atau sakit. Mungkin perkara itu berlaku secara tiba-tiba sebelum persembahan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kemungkinan besar Amad berdepan ketidakselesaan melampau sebelum naik ke pentas sehingga menjejaskan keadaannya ketika itu.
Raqim turut menjelaskan bahawa keputusan untuk Amad tetap meneruskan persembahan dibuat atas persetujuan antara pengurus dan penyanyi itu sendiri, tanpa sebarang tekanan daripada pihak produksi.
“Kami berbincang dengan pihak mereka sama ada mahu teruskan atau tidak. Kami juga menghormati keputusan mereka dan seperti yang dilihat kami juga terpaksa memberi iklan kerana mahu pastikan keadaannya.
“Kami sentiasa utamakan keselamatan dan kesihatan namun semuanya terpulang pada mereka. Tapi dari segi persembahan seperti dilihat di atas pentas,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan peserta serta pengurus masing-masing sentiasa menjadi keutamaan sepanjang program TTMM berlangsung.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.